NILAI, 24 April (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan mencemar duli merasmikan Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, Nilai di sini.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira 5.30 petang disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol serta Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill.
Sejurus ketibaan, baginda berkenan menyaksikan upacara pembukaan sebelum merasmikan kejohanan yang berlangsung sehingga Ahad ini.
Kejohanan edisi kali ini mencatat penyertaan memberangsangkan dengan kehadiran lebih 40 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan komuniti berbasikal antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah.
Amarjit berkata penganjuran edisi kali ini cukup bermakna buat Malaysia apabila kejohanan bertaraf dunia itu kembali dianjurkan di negara ini selepas 25 tahun.
“Hujung minggu ini, Malaysia menjadi pentas global berbasikal trek dan kami mengalu-alukan pelumba terbaik dunia, Olimpik, juara dunia dan bintang yang sedang meningkat naik, yang akan bersaing pada tahap kelajuan, ketepatan dan ketahanan tertinggi.
“… dan acara ini bukan sekadar tentang pertandingan tetapi ia adalah tentang perpaduan, kecemerlangan dan semangat persahabatan antarabangsa melalui sukan,” katanya dalam ucapan beliau.
Dalam pada itu, Mordi berkata penganjuran kejohanan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh pembangunan sukan berbasikal dan sukan berprestasi tinggi negara.
Antara pelumba yang hadir ialah juara Sukan Olimpik lima kali Harrie Lavreysen dari Belanda, Nicholas Paul (Trinidad & Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland).
Selain pelumba antarabangsa, turut mencuri tumpuan adalah jaguh negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial