SUKAN > BERITA

Jepun Tekad Akhiri Kemarau Lapan Tahun Piala Uber - Yamaguchi

25/04/2026 07:08 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar 

HORSENS (Denmark), 25 April (Bernama) -- Lapan tahun selepas kejayaan terakhir, juara dunia perseorangan wanita tiga kali Akane Yamaguchi percaya Jepun bersedia untuk sekali lagi memburu kejuaraan Piala Uber.

Tenang namun penuh keyakinan, pemain nombor tiga dunia itu menegaskan bahawa pasukan enam kali juara itu tidak hadir di Forum Horsens sekadar melengkapkan jadual, meskipun mengakui saingan edisi 2026 bakal berlangsung sengit.

“Kami menyasarkan kejuaraan tetapi sedar ia bukan mudah. Kami perlu memberikan usaha maksimum sebagai satu pasukan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di zon campuran.

Yamaguchi, yang turut membantu Jepun menjulang Piala Uber kali terakhir pada 2018, berkata cabaran utama mereka dijangka datang daripada juara bertahan China serta Korea Selatan yang pernah menjuarai kejohanan itu dua kali dengan kedua-dua pasukan memiliki kekuatan seimbang di semua acara.

Juara Asia 2019 itu menjangkakan aksi peringkat kalah mati akan menyaksikan perlawanan seimbang.

“Ia pasti pertarungan sukar, namun bukan mustahil. Banyak perlawanan boleh memihak kepada mana-mana pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, pemain berusia 28 tahun itu tidak memandang rendah Malaysia meskipun ketiadaan pemain beregu utama Pearly Tan menjelang pertemuan terakhir Kumpulan B pada 27 April ini.

“Walaupun ranking mereka sedikit rendah, setiap pemain memiliki kemampuan tersendiri. Mereka tetap lawan yang kuat,” katanya yang menyumbang mata pertama dalam kemenangan 5-0 ke atas Afrika Selatan dalam kempen pembukaan di sini.

Minggu lepas, Pearly menarik diri daripada kejohanan berprestij itu susulan kecederaan belakang yang berulang.

Terdahulu, Yamaguchi menyumbang mata pertama Jepun selepas menewaskan Johanita Scholtz dari Afrika Selatan 21-7, 21-10.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan