| BERITA TERGEMPAR | LUBNAN RUGI SEHINGGA US$160 JUTA SEHARI AKIBAT KONFLIK - PERSATUAN EKONOMI | |
Daripada Amiril Muttaqien Meketar
HORSENS (Denmark), 28 April (Bernama) -- Lima tahun lepas di Aarhus, Denmark, pemain perseorangan wanita utama Indonesia Putri Kusuma Wardani masih lagi ‘hijau’ ketika beraksi dalam saingan Piala Uber 2020.
Putri Kusuma yang membuat penampilan sulung di pentas berprestij berkenaan ketika itu, mengakui cukup bertuah apabila dapat menimba pengalaman bersama barisan pemain senior, termasuk pemenang emas beregu wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020, Greysia Polii-Apriyani Rahayu.
Beliau berkata kehadiran pemain berpengalaman seperti Greysia bukan sahaja memberi bimbingan di dalam gelanggang, malah turut menyuntik keyakinan dan kematangan dalam dirinya yang dipertaruhkan selaku pemain perseorangan wanita kedua Indonesia di Aarhus.
Piala Uber 2020 berlangsung pada 2021 susulan wabak COVID-19.
Diberikan kepercayaan selaku ketua pasukan Indonesia pada edisi 2026 di Forum Horsens di sini, pemain ranking keenam dunia itu berkata beliau kini menjadikan panduan serta nasihat Greysia sebagai sandaran dalam memimpin rakan sepasukannya kali ini.
“Pastinya tanggungjawab menjadi kapten sangat luar biasa kerana perlu memastikan hubungan di antara rakan sepasukan sentiasa kuat.
“Sudah semestinya saya mahu menggunakan nasihat diberikan Greysia untuk bantu saya memimpin pasukan di Horsens. Ketika di Aarhus, Greysia sering beri motivasi dan bertemu pemain junior, ia sangat berharga bagi saya,” katanya kepada Bernama.
Putri Kusuma sebelum itu menyumbang mata pertama Indonesia ketika kemenangan 3-2 mereka ke atas Taiwan pada aksi terakhir Kumpulan C menentang Chiu Pin-Chian, 21-17, 21-17.
Keputusan tersebut menyaksikan Indonesia mara ke suku akhir Piala Uber 2026 sebagai juara Kumpulan C manakala Taiwan pula layak ke peringkat sama selaku naib juara kumpulan.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata beliau bukan sahaja mahu melaksanakan tugas memimpin pasukan sebaik mungkin, malah berharap dapat melonjakkan semangat rakan sepasukan untuk mara ke perlawanan akhir Piala Uber buat kali kedua berturut-turut selepas muncul naib juara edisi 2024 di Chengdu, China.
Pemain kelahiran Depok, yang tidak tersenarai dalam skuad Piala Uber bagi edisi 2022 dan 2024, mengakui bukan mudah untuk menjuarai edisi kali ini memandangkan mereka perlu mengatasi cabaran hebat juara bertahan China, Korea Selatan dan Jepun.
Dalam pada itu, Putri Kusuma berharap dapat mengekalkan konsistensi sambil mengintai peluang membuat penampilan pertama di pentas Sukan Olimpik dan seterusnya merebut pingat edisi Los Angeles 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial