SUKAN > BERITA

Piala Thomas: Keputusan ‘Scratch Pair’ Demi Kepentingan Pasukan - Herry

05/05/2026 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi mengakui keputusan ‘scratch pair’ gandingan beregu lelaki ketika aksi terakhir kumpulan menentang Jepun dalam Piala Thomas 2026 bukan satu langkah mudah, namun dibuat demi kepentingan pasukan.

Beliau berkata keputusan memisahkan pasangan utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dilakukan selepas mengambil kira keadaan semasa pemain serta keperluan taktikal ketika itu.

“Memang itu keputusan pasukan. Kami berbincang bersama barisan jurulatih dan pemain, dan apa yang diputuskan adalah yang terbaik berdasarkan situasi semasa.

“Kita sudah cuba yang terbaik. Dalam perlawanan seperti ini, apa sahaja boleh berlaku sama ada menang atau kalah, tetapi ketika itu itulah kombinasi paling bersedia yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan faktor kecergasan pemain menjadi antara sebab utama perubahan gandingan, khususnya apabila ada pemain yang tidak berada pada tahap optimum.

“Man Wei Chong memaklumkan dia belum bersedia untuk bermain kerana mengalami kesakitan pada bahagian kaki. Jadi kami perlu menyusun semula pasangan beregu untuk memberi peluang terbaik kepada pasukan,” katanya.

Dalam aksi itu, Malaysia menutup kempen Kumpulan B dengan kekalahan 2-3 kepada Jepun, namun layak ke suku akhir selaku naib juara kumpulan. 

Gandingan Aaron bersama Tee Kai Wun ketika itu mempamerkan aksi cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi 16-21, 21-14, 21-19.

Namun, pasangan Nur Izzuddin Rumsani yang digandingkan bersama Wooi Yik gagal menyumbang mata selepas tewas 21-14, 19-21, 19-21 kepada Takumi Nomura-Yuichi Shimogami.

Impian Malaysia untuk menamatkan kemarau 34 tahun menjulang trofi Piala Thomas akhirnya ‘terkubur’ selepas tewas 0-3 kepada China. 

Kekalahan bermula dengan Leong Jun Hao yang tewas kepada Shi Yu Qi 10-21, 21-16, 9-21, diikuti Aaron-Wooi Yik yang kecundang di tangan Liang Wei Keng-Wang Chang 22-24, 14-21.

Penutup aksi menyaksikan Justin Hoh dikecewakan oleh Li Shi Feng 14-21, 13-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan