KUANTAN, 5 Mei (Bernama) -- Atlet pelayaran Nur Shazrin Mohd Latif dan pemain hoki dalam dewan kebangsaan Muhammad Izham Azhar masing-masing dinobatkan Olahragawati dan Olahragawan Pahang 2023/2024.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut pada Majlis Anugerah Sukan Pahang 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Nur Shazrin menyifatkan pengiktirafan itu amat membanggakan apabila pencalonan anugerah tersebut turut dibarisi atlet hebat termasuk juara dunia seperti atlet lompat bergalah Nur Sarah Adi, Nur Alyani Jamil (boling padang), Nur Thahirah Tasnim Abdul Aziz (petanque) dan Faten Najihah Ahmad Faik (tenpin boling).
“Saya tidak menjangkakan kemenangan ini. Ketika itu saya hanya beraksi di Sukan Asia dan berada dalam kelompok 10 terbaik Piala Emas Star Sailors League (SSL),” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022 itu berkata fokusnya kini terarah kepada persiapan menghadapi Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini, meskipun masih dalam fasa pemulihan kecederaan tangan.
“Saya masih dalam proses rehabilitasi, namun dijangka kembali menjalani latihan minggu depan sebagai persiapan ke Sukan Asia,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Izham turut meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan diterima.
“Saya agak terkejut apabila nama diumumkan, namun berasa bangga dengan pencapaian ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada keluarga serta jurulatih yang banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, Muhammad Izham berkata beliau kini memberi tumpuan kepada saingan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia selain bersedia menghadapi kemungkinan menyertai Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan yang dijangka berlangsung Julai ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial