KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Pemain pickleball dari India, Vanshik Kapadia, yang menyifatkan Malaysia sebagai "rumah keduanya" tidak sabar untuk bertanding dalam dua kejohanan di negara ini tidak lama lagi dan melahirkan keyakinan dapat mempamerkan aksi yang cemerlang.
Pemain berusia 21 tahun itu berkata dia akan bertanding dalam kejohanan Skechers Malaysia Edition di Tomaz Pickleball Club pada hujung minggu ini sebelum beraksi dalam kejohanan Terbuka PPA Asia KL di 9 Pickle, yang disifatkannya sebagai salah satu kejohanan terbesar yang dianjurkan oleh Professional Pickleball Association (PPA).
“Malaysia sentiasa terasa seperti rumah kedua saya dan setiap kali saya berada di sini, orang di sini melayan saya dengan baik,” katanya dalam satu temu bual, baru-baru ini.
Kapadia berkata dia akan bergandingan dengan pemain Malaysia, Mia Athilla, dalam acara beregu campuran dan Marco Leung dari Macau dalam acara beregu lelaki di Kejohanan Skechers Malaysia Edition.
Mengenai sasarannya bagi kedua-dua kejohanan itu, pemain pickleball dari India itu berkata dia hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada permainan tanpa ada rasa tertekan.
“Senyum dan bermain. Itu yang saya percaya. Jika anda bermain sambil anda tersenyum, anda akan dapat mempersembahkan permainan pickleball terbaik anda,” katanya.
Beliau berkata walaupun memenangi pingat emas sentiasa menjadi sasarannya, bermain di bawah tekanan boleh menjejaskan prestasi dan motivasi.
Pemain muda itu juga berkata dia kini berada dalam keadaan fizikal terbaik tanpa sebarang kecederaan menjelang kedua-dua kejohanan tersebut.
Kapadia telahpun menikmati kejayaan besar di Malaysia dan di peringkat Asia selepas mencipta sejarah sebagai pemain India pertama memenangi Emas Beregu Lelaki, Emas Beregu Campuran dan Perak Perseorangan Lelaki, pencapaian pingat tiga serangkai, di PPA Tour Asia yang julung kali diadakan di Kuala Lumpur pada 2025.
Terbaharu, beliau baru sahaja memenangi Triple Crown di Kejohanan Pickleball Dunia (WPC) di Pickle by the Sea di Pulau Pinang pada April 2026, memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.
Mengenai prestasi sukan pickleball di Malaysia Kapadia berkata setiap kali berkunjung sini beliau melihat standard permainan semakin bertambah baik, di sokong oleh kemudahan, kejurulatihan dan infrastruktur yang baik.
"Tahap persaingan di sini setiap kali saya datang ke Malaysia sentiasa meningkat," katanya.
Beliau berkata Asia Tenggara menawarkan peluang yang baik untuk pemain selalu bertanding sambil menambah cuaca di Malaysia sesuai dengannya kerana ia serupa dengan keadaan di India.
Membandingkan pertumbuhan sukan ini di India dan Malaysia, beliau berkata pickleball di India masih lebih bersifat rekreasi bagi ramai pemain, manakala pemain Malaysia kelihatan lebih bersemangat untuk bersaing secara serius dan mewakili negara pada masa hadapan.
Beliau juga percaya Asia berpotensi untuk menjadi kuasa utama dalam sukan pickleball antarabangsa, dengan syarat pemain di rantau ini mendapat pendedahan lebih meluas bertanding dengan lawan yang lebih kuat dan berpengalaman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial