KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Pemain tengah kebangsaan Paulo Josue percaya Piala ASEAN FIFA 2026 yang berlangsung dari 21 Sept hingga 6 Okt ini, merupakan platform terbaik buat Harimau Malaya menamatkan penantian panjang negara untuk menjulang trofi.
Josue optimis, skuad kebangsaan memiliki keupayaan untuk memberi saingan sengit kepada mana-mana pasukan di Asia Tenggara, berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketika menentang lawan serantau sebelum ini.
“Ia satu kejohanan yang hebat dan peluang terbaik untuk Malaysia memenangi trofi. Kita sudah buktikan sebelum ini mampu bersaing dengan pasukan di Asia Tenggara walaupun berdepan sedikit kesukaran.
“Jadi kami perlu bersedia dan berharap jurulatih Peter Cklamovski dapat membawa barisan pemain terbaik negara ketika ini, seterusnya cuba mencapai sesuatu yang istimewa,” katanya selepas sidang media AllStar Legends di sini hari ini.
Josue berkata persiapan rapi perlu dilakukan lebih awal bagi memastikan skuad kebangsaan benar-benar bersedia menghadapi cabaran besar pada Oktober nanti.
Terdahulu, Malaysia diundi bersama Thailand bagi saingan peringkat kumpulan, yang dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini.
Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan B bersama juara tujuh kali Thailand, sekali gus memberi peluang kepada skuad negara menebus kekalahan 0-1 kepada Gajah Perang di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok pada edisi 2024.
Susunan Kumpulan B diumumkan pada majlis undian rasmi edisi ke-16 kejohanan itu yang diadakan di Jakarta hari ini.
Malaysia memenangi kejohanan itu hanya sekali pada 2010, juga bakal berdepan cabaran Filipina yang mara lima kali ke separuh akhir, Myanmar (dua kali separuh akhir) dan Laos.
Sementara itu, juara bertahan Vietnam diundi dalam Kumpulan A bersama juara empat kali Singapura, Indonesia (enam kali naib juara), Kemboja serta pemenang main habis antara Brunei dan Timor-Leste.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial