SUKAN > BERITA

Kem Fasa 1 Sukan Para ASEAN 2027 Fokus Selesai Isu Ketahanan Diri Atlet

11/05/2026 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memulakan langkah proaktif memperkasakan persediaan atlet para negara melalui penganjuran Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 selama tiga hari bermula hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata program yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan di sini, bertujuan mengumpulkan atlet bagi memulakan sesi persediaan awal.

Beliau berkata Kem Fasa 1 membabitkan kira-kira 123 atlet dan pegawai pengiring daripada18 acara itu memberi tumpuan khusus kepada aspek pengukuhan mental dan jati diri dengan penglibatan strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Akademi Kenegaraan Malaysia.

“Kerjasama strategik bersama ATM, Akademi Kenegaraan Malaysia dan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) amat signifikan dalam mengukuhkan pengisian kem ini,” katanya dalam ucapan sebelum merasmikan Kem Fasa 1 Temasya Sukan Para ASEAN 2027 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.

Jefri berkata kem fasa kedua dijadualkan berlangsung pada Januari manakala kem fasa ketiga akan diadakan pada Julai selepas senarai akhir kontinjen dimuktamadkan MPM dan MSN.

Menurut beliau, Kem Fasa 1 dirangka bagi memastikan atlet lebih bersedia dari aspek mental dan fizikal selain menangani isu ketahanan diri yang sering dibangkitkan dalam sesi pascanilai sebelum ini.

“Seperti saya maklumkan tadi, Angkatan Tentera Malaysia dan Akademi Kenegaraan Malaysia membantu dari segi modul kenegaraan serta modul ketahanan diri.

“Ini antara isu asas yang sering timbul dalam mana-mana pascanilai dan kami harap dengan penglibatan kedua-dua agensi ini, perkara itu dapat diselesaikan secara menyeluruh,” katanya.

Antara 18 acara yang terlibat dalam Kem Fasa 1 adalah taekwondo, berbasikal, lawan pedang, olahraga, renang, judo, badminton, powerlifting, memanah, menembak dan boccia.

Temasya Sukan Para ASEAN 2027 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 23 Okt 2027 di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan