SUKAN > BERITA

Persepsi Negatif Sukan Tempur Perlu Diubah, Bantu Bentuk Disiplin Belia - Mohammed Taufiq

16/05/2026 03:28 PM

CYBERJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Sukan tempur perlu dilihat sebagai platform positif dalam membentuk disiplin dan jati diri belia, selain mampu menyalurkan tenaga anak muda ke arah lebih bermanfaat, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata persepsi negatif terhadap sukan berkenaan termasuk dikaitkan dengan unsur keganasan, perlu diubah kerana ia sebenarnya mampu menjadi medium membentuk komitmen tinggi serta sahsiah anak muda.

"Kita tidak tengok sukan ini dari sisi negatif, sebagai contoh ganas dan sebagainya, tetapi jika kita berikan satu platform kepada anak-anak muda, kita boleh menggantikan keganasan di luar sana dengan platform yang lebih positif. Itu yang paling penting sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian kejohanan Combatchamps 2026 yang berlangsung selama dua hari, di sini hari ini.

Mohammed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa melihat pembangunan sukan tempur sebagai antara bidang yang perlu digilap bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Beliau berkata usaha itu penting memandangkan beberapa sukan tempur menawarkan peluang pingat yang besar di temasya sukan, justeru prestasi persatuan berkaitan perlu terus diperkasakan.

"Kita tengok berdasarkan prestasi persatuan dan sebagainya, sudah pasti ada medal yang telah pun kita capai sebelum ini, dan kita perlu gilap itu dengan lebih lagi. Perbincangan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) amat perlu di peringkat KBS sendiri," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohammed Taufiq berkata penganjur Combatchamps menerima RM185,000 menerusi Geran Padanan Sukan bagi menyokong pembangunan sukan berkenaan.

Beliau berkata jumlah itu meningkat berbanding RM150,000 yang diterima tahun lepas, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus menyokong program belia yang memberi impak positif.

"Insya-Allah, pada tahun-tahun akan datang kita akan terus menggalakkan Geran Padanan Sukan ini supaya program-program yang dianjurkan boleh menjadi platform dan medium positif untuk anak-anak muda," katanya.

Terdahulu, Mohammed Taufiq dalam ucapannya berkata Combatchamps 2026 merupakan platform penting untuk pembangunan akar umbi, pencarian bakat dan laluan perkembangan atlet sukan tempur negara ke peringkat lebih tinggi.

Beliau turut memuji usaha Persekutuan Gusti Malaysia dalam menghimpunkan pelbagai disiplin sukan tempur di bawah satu pentas termasuk gusti, jujitsu, judo, muay thai dan tinju.

Combatchamps 2026 menghimpunkan 1,000 atlet daripada pelbagai disiplin, menjadikannya antara acara sukan tempur pelbagai disiplin terbesar di Malaysia.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Gusti Malaysia Azlan Iskandar berkata kejohanan yang memasuki tahun kedua itu dilaksanakan dengan kerjasama penganjur, International Copa Combat Championship yang berpengalaman luas dalam mengendalikan acara seni bela diri pelbagai disiplin.

Beliau berkata penglibatan persekutuan itu sebagai badan penyelaras dan persatuan utama adalah untuk memperkenalkan dan memperluas kesedaran terhadap sukan gusti di negara ini.

Azlan berkata jumlah peserta Combatchamps meningkat daripada hampir 800 orang tahun lepas kepada lebih 1,000 tahun ini, membabitkan penyertaan dari Singapura, Indonesia dan Malaysia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan