SUKAN > BERITA

Perasaan Gementar Jejas Aksi Zi Yu-Noraqilah Di Final Masters China

17/05/2026 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Beregu wanita muda negara Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan mengakui rasa gementar menjejaskan rentak permainan mereka pada final Masters China hari ini.

Zi Yu berkata meskipun gembira berjaya menamatkan saingan sebagai naib juara, mereka kurang berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pada perlawanan berkenaan. 

“Kami kurang konsisten mungkin kerana ada rasa gementar. Ini perkara yang perlu kami perbaiki,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Terdahulu, impian Zi Yu-Noraqilah Maisarah untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF tidak kesampaian apabila tewas pada perlawanan akhir Masters China, sebentar tadi.

Pasangan meningkat naik negara itu terpaksa akur dengan kehebatan wakil Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi selepas kalah 13-21, 17-21 dalam tempoh 32 minit di Gimnasium Baoji City.

Dalam pada itu, Zi Yu berharap beliau dan pasangan mampu untuk memberikan aksi yang terbaik pada penampilan sulung mereka di Masters Malaysia yang akan membuka tirainya Selasa depan.

Kejohanan Masters Malaysia bertaraf Super 500 itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$475,000 (RM1.876 juta).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan