SUKAN > BERITA

Antonsen Kejutkan Kunlavut Untuk Rangkul Gelaran Terbuka Thailand

17/05/2026 10:36 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 17 Mei (Bernama) -- Pemain badminton perseorangan lelaki utama Denmark Anders Antonsen mengejutkan pilihan tuan rumah dan pilihan kedua kejohanan Kunlavut Vitidsarn untuk merangkul gelaran Terbuka Thailand di Stadium Nimibutr hari ini.

Pemain nombor tiga dunia itu memenangi perlawanan yang mendebarkan selama satu jam 37 minit dengan keputusan 9-21, 24-22, 21-18 ke atas pemain Thailand yang kini berada di ranking nombor dua dunia, sekali gus meraih gelaran pertamanya tahun ini.

Antonsen mara ke final selepas pemain nombor satu dunia dan pilihan utama Shi Yuqi menarik diri daripada perlawanan separuh akhir mereka semalam.

Pemain berusia 29 tahun berkenaan menyifatkan kemenangan itu sebagai satu perasaan yang luar biasa selepas menjulang gelaran di Thailand.

“Saya kehilangan kata-kata ketika ini. Ia sekali lagi satu pengalaman yang menakjubkan di gelanggang. Tahun lepas juga luar biasa, namun untuk meraih kemenangan tahun ini terasa amat hebat,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan hari ini.

Bagaimanapun, dalam final perseorangan wanita, pemain nombor tiga dunia dari Jepun Akane Yamaguchi menewaskan pemain China yang menghuni ranking nombor empat dunia Chen Yufei 21-14, 21-18 dalam tempoh 39 minit.

Pada final beregu lelaki, pasangan Indonesia Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin mengejutkan pilihan utama Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India menerusi kemenangan straight set 21-12, 25-23 dalam tempoh 53 minit.

Pasangan China Bao Lijing-Cao Zihan pula menewaskan pasangan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 19-21, 21-16, 21-19 dalam pertarungan selama 72 minit untuk merangkul gelaran juara beregu wanita.

Dalam acara beregu campuran, pilihan kedua kejohanan dari Denmark Mathias Christiansen-Alexandra Bøje menewaskan pasangan China Zhu Yijun-Li Qian 21-17, 21-15 untuk menjulang gelaran Terbuka Thailand.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan