KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Bekas juara dunia Ratchanok Intanon mengakui hampir menarik diri daripada saingan Malaysia Masters akibat prestasi kurang memberangsangkan, namun kini hanya selangkah lagi untuk mara ke final.
Pemain pilihan Thailand itu, yang juga juara dua kali kejohanan berkenaan pada 2018 dan 2019, melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Denmark, Line Christophersen, 21-16, 21-11 dalam tempoh 31 minit di Arena Unifi, Bukit Jalil, hari ini.
Pemain berusia 31 tahun itu berkata dia sebenarnya hampir tidak meneruskan saingan minggu ini selepas tersingkir di suku akhir Thailand Open minggu lalu susulan masalah kecergasan serta kecederaan ringan.
“Sejujurnya, saya mahu menarik diri minggu ini kerana kalah di suku akhir Terbuka Thailand dan tidak berada pada tahap kecergasan terbaik.
“Tetapi saya berbincang dengan jurulatih dan merasakan saya masih perlu bermain. Kecederaan juga tidak bertambah buruk, jadi saya teruskan,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.
Menurut pemain ranking ketujuh dunia itu, keadaan gelanggang di Arena Unifi turut membantu meningkatkan keyakinannya sepanjang kejohanan.
“Keadaan gelanggang di sini berbeza berbanding sesi latihan dan Terbuka Thailand. Apabila berada di sini, saya rasa lebih mudah untuk memukul bulu tangkis dengan baik, jadi keyakinan saya meningkat,” katanya.
Walaupun kini semakin hampir untuk meraih gelaran ketiga Malaysia Masters, Ratchanok enggan terlalu memikirkan peluang itu dan mahu memberi fokus terhadap setiap perlawanan.
“Saya ambil satu pusingan demi satu pusingan. Saya tidak boleh kata akan kembali menjadi juara kerana saya tahu tahap kecergasan saya belum cukup baik,” katanya.
Dalam aksi separuh akhir esok, Ratchanok akan menentang seorang lagi pemain Denmark, Line Hojmark Kjaersfeldt, yang mara selepas menewaskan Asmita Chaliha dari India 21-23, 21-18, 21-11.
Pada Terbuka Thailand, Ratchanok tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pemain ranking ke-24 dunia dari Jepun, Hina Akechi, 21-13, 21-16.
Malaysia Masters yang berstatus Super 500 menawarkan hadiah keseluruhan USD500,000 (RM 1.98 juta).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial