KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Skuad berpasukan negara meneruskan penguasaan ke atas Jepun apabila mencatat kemenangan bergaya 2-0 pada aksi suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa, hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia hanya selangkah untuk sekurang-kurangnya menepati sasaran mara ke final, dengan Indonesia atau Filipina bakal menjadi halangan terakhir pada aksi separuh akhir esok pagi.
Jika berjaya melangkah ke final, pencapaian itu akan mengulangi kejayaan skuad negara mara ke pentas akhir pada edisi 2024 dan Piala Asia tahun lepas di venue sama.
Aksi malam ini menyaksikan skuad negara yang dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Farhan Adam dan Mohamad Azlan Alias bermula dengan momentum cemerlang untuk menewaskan trio Jepun, Hirokazu Kobayashi, Shuma Takata, dan Ryota Haruhara 15-9, 15-6.
Bagaimanapun, trio negara yang merupakan juara acara regu pada Piala Dunia 2024 itu, dilihat berdepan sedikit kesukaran dalam mendepani strategi hadangan berganda lawan selepas Syahir mengalami kecederaan pada penghujung set pertama dan digantikan Zarif Marican Ibrahim Marican.
Kemaraan ke separuh akhir Malaysia kemudian disahkan menerusi regu kedua dibarisi Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang menundukkan Shun Yuasa, Yota Ichikawa dan Seiya Takano 15-6, 15-8.
Sementara itu, Zarif Marican berkata tindakannya yang sentiasa dalam keadaan bersedia setiap kali diperlukan pasukan membuatkan beliau mampu beraksi lebih dominan sebaik dimasukkan pada set kedua.
"Saya dah set dalam fikiran untuk kena sentiasa bersedia sebab bermain di posisi joker, kita tak boleh lalai.
“Saya dah berlatih, saya dah usaha dan hanya ikut arahan jurulatih. Kalau diberi kepercayaan, insya-Allah saya akan turun dan beri 100 peratus,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Beliau turut mengakui pengalaman lalu termasuk ketika kejohanan di Thailand banyak membantu dirinya untuk lebih bersedia apabila diturunkan sebagai pemain gantian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial