KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) Manuel Hidalgo berkata "keinginan mendalam" untuk meraih gelaran bersejarah sebagai juara Piala Malaysia empat musim berturut-turut didorong oleh kepimpinan berwawasan dan kata-kata motivasi daripada “the boss”, atau pemilik JDT, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Bercakap selepas kemenangan 2-0 menewaskan Kuching City FC dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi, Hidalgo berkata kejayaan pasukan itu ialah cara mereka membalas sokongan padu Tunku Mahkota Ismail terhadap JDT.
"Beliau sentiasa bercakap dengan baik … pemimpin yang hebat … kami masuk ke padang dengan penuh keinginan untuk meraih kejayaan. Beliau melakukan segala-galanya untuk kami, untuk keluarga kami, jadi kami membalasnya dengan kemenangan," katanya.
Kejayaan JDT malam tadi menjadikannya kelab pertama dalam sejarah menjulang trofi berprestij sebanyak empat musim berturut-turut, satu pencapaian yang disifatkan Hidalgo sebagai kemuncak musim yang belum pernah dilalui skuad Harimau Selatan itu.
"Musim ini musim yang bersejarah. Kami mencapai banyak perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kami gembira. Kini, kami akan berehat dan kembali lagi tahun depan," katanya.
Mengulas tentang perlawanan apabila beliau digantikan lebih awal, Hidalgo berkata keputusan itu ialah langkah strategik oleh jurulatih untuk memastikan kemenangan.
"Saya fikir langkah itu ialah keputusan taktikal. Jurulatih yang putuskan, saya ikut sahaja arahan itu," katanya.
Dalam pada itu, Hidalgo memberikan bayangan tentang statusnya sebagai pemain naturalisasi untuk pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.
"Tidak lama lagi mungkin anda dapat jawapannya. Saya mengharapkannya dan saya sangat teruja," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial