KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) merancang bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dalam usaha menjadikan Arena Badminton Cheras di sini sebagai pusat latihan mereka.
Presiden KLBA Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata pihaknya juga akan mengatur pertemuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud bagi mencari jalan penyelesaian memastikan venue tersebut menjadi “rumah tetap” bagi pemain mereka menjalani latihan.
“Memang ada perancangan (perjumpaan dengan Hannah) namun ia akan kembali kepada Datuk Bandar sebab semua aset dalam Kuala Lumpur terletak di bawah bidang kuasa Datuk Bandar.
“Jadi jika Datuk Bandar dan juga jawatankuasa terbabit mahu bekerjasama untuk menjayakan pembangunan badminton di Kuala Lumpur, mereka akan bantulah. Jadi kita berdoa dan berharap,” katanya pada sidang media mesyuarat agung tahunan KLBA di sini hari ini.
Ditanya mengapa isu tersebut berlarutan sejak sekian lama, Jahaberdeen berkata ia mungkin disebabkan isu birokrasi namun berharap agar pertemuan mereka bersama Hannah dan Fadlun membuahkan hasil positif.
November lepas, Jahaberdeen dilaporkan berkata rundingan empat tahun bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menjadikan Arena Badminton Cheras sebagai pusat latihan KLBA masih belum menemui titik noktah.
Kompleks badminton yang bertempat di Taman Pertama, Cheras dan bernilai RM20 juta itu memiliki 10 gelanggang latihan, dewan serbaguna berkapasiti 450 orang, gimnasium, kafeteria, surau dan tempat letak kenderaan yang luas.
Jahaberdeen pada masa sama berkata pemain di bawah naungan KLBA ketika ini sedang menjalani latihan di 28 kelab sekitar Kuala Lumpur susulan ketiadaan pusat latihan tetap.
Sementara itu, beliau berkata KLBA sedang merangka program baharu dikenali sebagai ‘Jejak Juara Baru 2030’ dalam usaha memperkukuh pembangunan badminton akar umbi di ibu negara.
Katanya fokus utama program itu ialah memperkasakan kerjasama dengan kelab-kelab swasta menerusi model pembangunan seperti diamalkan di Jepun dan Indonesia, selain melihat persatuan lebih berperanan sebagai badan penyelaras dan pengiktiraf, manakala latihan pemain diserahkan kepada pihak yang mempunyai kepakaran.
Terdahulu, Jahaberdeen mengekalkan jawatan Presiden KLBA selepas menang tanpa bertanding bagi penggal 2026-2030.
Turut menang tanpa bertanding adalah penganalisis politik Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian selaku timbalan presiden dan tiga naib presiden, iaitu Dr Mahendran Ponnudurai, Ng Chee How dan Joel Jared William Balakrishna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial