KUALA TERENGGANU, 1 Jun (Bernama) -- Pasukan berbasikal bertaraf dunia Terengganu Cycling Team (TSG) menyasarkan dua podium pada Tour de Maurice 2026 di Mauritius yang bermula esok.
Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Wan Idrus berkata lima pelumba termasuk dua pelumba import dan tiga tempatan dipertaruhkan bagi mencapai sasaran dalam siri perlumbaan bertaraf 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu.
"Untuk perlumbaan kali ini kita membariskan lima pelumba iaitu Juan Pedro, Vadim Pronskiy, Nur Aiman Mohd Zarrif, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki dan Muhammad Qayyim Mohd Saipul Anuwai.
"Pelumba akan mengharungi empat peringkat perlumbaan dengan jarak keseluruhan sejauh 507 kilometer bermula 2 hingga 5 Jun. Kita jangkakan persaingan sangat sengit kerana banyak laluan berbukit sehingga mencapai 2,000 meter, keadaan cuaca yang panas dan kemungkinan berlaku angin kuat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nasiruddin berkata setakat 19 Mei lepas, TSG yang dibimbing Mohd Saiful Anuar Aziz berada di kedudukan keempat di Asia dan ke-35 terbaik dunia selepas mengutip 818 mata daripada 17 siri perlumbaan seluruh dunia.
Beliau berkata dengan baki 24 siri perlumbaan, TSG yang berpangkalan di Kuala Terengganu optimis mampu mencapai sasaran untuk muncul sebagai juara Asia musim ini.
"Bulan ini kita akan sertai dua lagi jelajah iaitu Tour de Gyeongnam, Korea yang bertaraf 2.2 UCI dan Grand Prix Jizzakh, Uzbekistan.
"Insya-Allah kita akan cuba kutip seberapa banyak mata untuk memperbaiki kedudukan dan mengatasi pencabar sengit kita, iaitu kelab Roojai Insurance Winspace, Li Ning Star dan XDS Astana Development Team," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial