LABUAN, 5 Jun (Bernama) -- Labuan bakal melakar sejarah dalam acara larian menerusi penganjuran maraton penuh buat julung-julung kali, Pearl of Borneo Marathon 2026 bermula esok hingga Ahad ini, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Wilayah Persekutuan itu sebagai destinasi pelancongan sukan.
Acara itu yang dianjurkan Perbadanan Labuan dengan kerjasama Faxtive Athletics Club menampilkan empat kategori, iaitu 42 kilometer (km) (maraton penuh), 21 km (separuh maraton), serta larian santai sejauh 10 km dan 3 km.
Jawatankuasa penganjur Pearl of Borneo Marathon 2026 memaklumkan sebanyak 3,372 peserta dari 16 negara telah mendaftar antaranya dari Indonesia, Singapura, Rusia, Kanada, China, Australia, Amerika Syarikat, Ghana, termasuk Malaysia.
Acara yang akan bermula dan berakhir di Dataran Labuan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM105,166.
Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dijadualkan melepaskan peserta larian pada tengah malam, 6 Jun.
Penganjuran Pearl of Borneo Marathon 2026 itu melakar pencapaian baharu bagi komuniti larian di Labuan yang semakin berkembang, di samping dapat mempromosikan pulau bebas cukai berkenaan sebagai lokasi menarik untuk acara rekreasi dan gaya hidup.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial