KUANTAN, 7 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pahang menerima peruntukan sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi kerja-kerja menaik taraf lampu limpah, pendawaian elektrik dan tempat duduk di Stadium Darul Makmur di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal berkata proses tender bagi projek berkenaan akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam masa terdekat.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana usaha selama lebih tiga tahun akhirnya membuahkan hasil apabila peruntukan untuk menaik taraf lampu limpah dan tempat duduk stadium berjaya diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Rakyat Pahang Edisi Pertama bagi merebut Piala Al-Sultan Abdullah 2026 di Stadium Darul Makmur semalam.
Pada majlis itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan Liga Rakyat Pahang Edisi Pertama serta menonton perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan Pahang dan Pilihan Selangor.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah serta barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri Pahang.
Pasukan Pilihan Pahang berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 di hadapan 30,000 penonton di stadium berkenaan.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi bekas pemain kebangsaan Mahali Jasuli pada minit kesembilan, namun Pilihan Pahang berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-20 selepas pemain Pilihan Selangor Bunyamin Omar tertampan bola ke gawang sendiri.
Pahang kemudian memastikan kemenangan menerusi jaringan Azizul Kamaludin pada minit ke-34 hasil satu rembatan yang menewaskan penjaga gol lawan, sekali gus mengekalkan keputusan itu sehingga ke wisel penamat.
Selain itu, Fadzli berkata beliau komited melalui penambahbaikan fasiliti itu dan penganjuran liga rakyat Pahang akan memberi impak baharu kepada pembangunan bola sepak di negeri berkenaan.
“Padang kami kini sudah berada pada tahap yang membanggakan, dan kini tumpuan diberikan kepada penambahbaikan fasiliti lain, khususnya lampu limpah dan tempat duduk. Kami sedang bergerak ke arah menjadikan Stadium Darul Makmur sebuah stadium yang mampu berdikari,” katanya.
Fadzli ketika menyentuh mengenai Liga Rakyat Pahang Edisi Pertama berkata kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan dengan persatuan bola sepak daerah bagi memastikan setiap daerah menyediakan sekurang-kurangnya 12 pasukan untuk menyertai pertandingan itu.
Beliau berkata juara setiap daerah kemudiannya akan berentap di peringkat negeri bagi merebut Piala Al-Sultan Abdullah dan hadiah wang tunai yang disediakan.
Menurut Fadzli, pihaknya turut merancang melaksanakan liga peringkat umur bawah 19, 15, 12, 10 dan lapan tahun di seluruh daerah di negeri itu bagi memperkasa pembangunan bola sepak sehingga ke peringkat akar umbi selaras dengan titah Sultan Pahang.
“Liga peringkat daerah dijangka bermula dalam tempoh dua minggu lagi dengan dua daerah menganjurkan pertandingan secara serentak setiap minggu manakala liga bawah umur pula, kami sedang memperhalusi tarikh akhirnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial