SUKAN > BERITA

Zii Jia Sahkan Slot Ke Undian Utama Terbuka Australia

09/06/2026 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke undian utama Terbuka Australia selepas melepasi dua halangan pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Arena Quaycentre, Sydney, hari ini.

Bekas juara Terbuka Australia 2024 yang kini menghuni ranking ke-64 dunia itu terlebih dahulu menewaskan wakil Jepun, Shogo Ogawa, 24-22, 22-20 dalam tempoh 52 minit.

Bekas juara All England itu kemudian meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan seorang lagi pemain Jepun, Riki Takei, 15-21, 21-17, 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 61 minit.

Kejayaan itu menyaksikan Zii Jia membuat penampilan kedua dalam undian utama kejohanan Jelajah Dunia musim ini selepas Terbuka Thailand bulan lepas yang berakhir dengan penyingkirannya pada pusingan pertama.

Sebelum ini, beliau memilih untuk tidak menyertai Malaysia Masters meskipun layak secara automatik ke undian utama, sebaliknya memberi tumpuan kepada siri kejohanan Terbuka Australia, Macau, Amerika Syarikat dan Kanada.

Pada pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 500 itu esok, Zii Jia dijangka berdepan cabaran pemain Taiwan, Lee Chia Hao yang berada di ranking ke-29 dunia.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara Eogene Ewe turut mengesahkan tempat ke pusingan undian utama selepas bangkit daripada kekalahan set pertama sebelum menewaskan pemain Amerika Syarikat, Mark Shelley Alcala 18-21, 21-13, 21-11.

Beliau kemudiannya meneruskan momentum kemenangan dengan menundukkan pemain India, Manraj Singh 21-11, 21-18.

Eogene akan membuka kempen undian utama dengan menentang pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami seorang lagi wakil negara Lim Ming Hong yang gagal meneruskan kemaraan selepas tewas 9-21, 16-21 kepada pemain India, Saneeth Dayanand pada pusingan kelayakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan