SUKAN > BERITA

RTM Komited Saji Siaran Berkualiti 104 Perlawanan Piala Dunia 2026

10/06/2026 04:34 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited menyajikan siaran berkualiti bagi kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026, menerusi pelbagai saluran termasuk platform digitalnya.

Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail berkata peminat bola sepak tempatan, boleh mengikuti kejohanan bola sepak berprestij itu menerusi RTM Klik, saluran RTM di platform MY TV serta Unifi TV.

Beliau berkata RTM menggembleng seluruh kekuatannya untuk memastikan kejohanan empat tahun sekali, itu dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan luar bandar.

“Kita memilih untuk membawa Piala Dunia 2026 ini, kerana itu yang dimahukan oleh rakyat Malaysia terutamanya peminat bola sepak tempatan dan kita pun tahu bola sepak sukan utama di Malaysia dan mereka ingin menonton apakah kelainan Piala Dunia kali ini berbanding edisi yang lepas.

“Jadi sebab itu kita menggembleng seluruh kekuatan yang ada. Ini bukan kerja RTM sahaja, ini bukan kerja Jabatan Penyiaran ataupun Kementerian Komunikasi sahaja, ia kerjasama dan kekuatan jenama-jenama penting telekomunikasi tempatan yang memahami denyut nadi rakyat,” katanya kepada pemberita pada sesi temu bual di Menara Angkasapuri di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ashwad berkata penganjuran kali ini turut menyaksikan perbelanjaan kerajaan dikurangkan kepada RM26.2 juta, berbanding kira-kira RM33 juta bagi edisi Piala Dunia 2022.

“Pada edisi 2022, kerajaan atau RTM membelanjakan sekitar RM33 juta, manakala kali ini hanya RM26.2 juta untuk membawa kesemua 104 perlawanan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ashwad berkata RTM Klik menjadi antara platform penting dalam memperluas capaian siaran, kerana boleh diakses menerusi pelbagai peranti di seluruh negara.

Beliau berkata platform penstriman itu telah mencatatkan lebih tujuh juta muat turun, manakala jumlah pengguna aktif direkodkan antara 3.5 juta hingga 4.8 juta bagi Mac dan April lepas.

“Saya rasa jumlah itu akan meningkat dan saya berharap rakyat Malaysia terus menyokong usaha yang dijalankan oleh pasukan produksi RTM. Saya bersyukur kerana pasukan produksi kita bersedia untuk menghasilkan atau menerbitkan rancangan untuk kesemua 104 perlawanan,” katanya.

Selain siaran perlawanan, beliau berkata RTM turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak swasta, untuk menganjurkan pelbagai program berkaitan kejohanan di seluruh negara.

Program Grandstand Piala Dunia 2026 RTM dijadual bermula pada 1 pagi Jumaat ini (12 Jun), menjelang perlawanan pembukaan antara Mexico dan Afrika Selatan pada 3 pagi waktu Malaysia.

Mengenai pasukan pilihannya, Ashwad berkata juara lima kali Brazil kekal dekat di hatinya sejak kecil, namun menjangkakan Portugal mampu mencipta kejutan dalam kejohanan kali ini.

Piala Dunia 2026 berlangsung di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico melibatkan 48 buah pasukan, yang merupakan jumlah penyertaan terbesar dalam sejarah kejohanan berprestij itu sejak julung kali diadakan di Uruguay pada 1930.

Awal bulan lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan RTM dan Unifi TV akan menjadi penyiar rasmi Piala Dunia 2026, dalam usaha kerajaan untuk memastikan rakyat dapat menonton kejohanan itu secara inklusif, sah dan menyeluruh.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan