SUKAN > BERITA

Beri Peluang Calon Muda Rebut Jawatan Presiden FAM - Sultan Pahang

10/06/2026 08:05 PM

NILAI, 10 Jun (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi bayangan tidak akan bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Kongres Tahunan badan induk sukan nombor satu negara itu September ini. 

Baginda yang pernah memegang jawatan Presiden FAM dari 2014 hingga 2017 turut bertitah agar keutamaan diberikan kepada calon muda untuk bertanding jawatan kerusi nombor satu itu.

“Tidak payahlah (perlu) saya. Saya sudah orang lama…bagi orang muda (bertanding Presiden FAM),” titah baginda kepada pemberita selepas berkenan menyaksikan Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.

Kongres Tahunan FAM bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu dengan perhatian tertumpu kepada jawatan presiden dan tiga naib presiden.

Januari lepas, kesemua Ahli Jawatankuasa FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip serta berhemah susulan krisis yang melanda badan induk itu.

Krisis itu bermula pada September tahun lepas apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan FAM dan tujuh pemain Harimau Malaya iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Manchuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa kagum melihat aksi bertenaga dipamerkan pelumba pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 terutama persaingan antara jaguh berbasikal trek dunia Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Dalam ingatan saya, inilah kali pertama saya tengok perlumbaan dalam velodrom. Saya tak pernah lagi sampai ke mana-mana velodrom di Malaysia ataupun di dunia.

“Saya begitu kagum dengan cara pertandingan ini dan sedikit sebanyak memberi gambaran kepada saya tentang kejohanan berbasikal ini. Pujian kepada semua pelumba khususnya Datuk Azizul dan Shah Firdaus,” titah baginda.

Baginda pada masa sama mendoakan agar Mohd Azizulhasni dapat bersaing pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Kejohanan empat hari itu yang bermula semalam berakhir Jumaat ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan