SUKAN > BERITA

Ee Wei Damba Keajaiban Untuk Pertahan Gelaran Dunia

12/06/2026 12:43 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pemain beregu campuran nombor satu negara yang mengalami kecederaan, Toh Ee Wei enggan menutup peluang untuk mempertahankan gelaran Kejuaraan Dunia di New Delhi dan menyertai Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sebaliknya, Ee Wei masih mendambakan keajaiban walaupun kini berdepan kekangan masa untuk pulih daripada koyakan separa ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya.

“Saya tak boleh nak pastikan sama ada akan sertai (kejohanan itu) mungkin perlu berdoa semoga ada keajaiban. Sebagai atlet sudah tentu saya nak sertai, tetapi mengalami kecederaan bila pertandingan semakin hampir,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Ee Wei masih menunggu penilaian pengimejan resonans magnetik (MRI) sama ada perlu menjalani pembedahan atau sebaliknya.

Baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Ee Wei mengalami kecederaan ketika beraksi pada suku akhir Terbuka Singapura 2026.

Kejuaraan Dunia akan berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos, manakala Sukan Asia dijadualkan dari 19 Sept hingga 4 Okt depan.

Walaupun cuba kekal positif, Ee Wei mengakui kecederaan itu memberikan kesan kepada emosinya.

“Semua yang berlaku ada sebabnya. Mungkin ini masa saya untuk berehat dan apa yang saya boleh buat hanyalah kekal berdisiplin serta melakukan apa yang jurulatih dan fisioterapis nasihatkan,” katanya.

Berikutan itu, gandingannya Chen Tang Jie akan digandingkan sementara dengan Clarissa San pada Terbuka China di Jiangsu dari 21 hingga 26 Julai.

Ee Wei turut merakamkan penghargaan kepada Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM Datuk Seri Lee Chong Wei atas sokongan yang diberikan sepanjang proses pemulihannya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan