SUKAN > BERITA

Skuad Negara Rangkul Gelaran Juara Piala Pembangunan Serantau Triatlon Dunia 2026

14/06/2026 07:19 PM

KAMPAR, 14 Jun (Bernama) -- Pasukan triatlon negara merangkul gelaran juara dalam acara triatlon berganti-ganti campuran pada Piala Pembangunan Serantau Triatlon Dunia 2026 yang berlangsung di sini hari ini.

Skuad negara yang dibarisi Sara Joy Hong Mae Chen, Qi Yi Yap, Esther Joy Hong Li Chen dan Martyn Wen Xuan Lim berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa keseluruhan satu jam 20 minit 18 saat (s).

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia mengetepikan cabaran sengit Rusia yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan masa 1:21:05s, hanya ketinggalan 47 saat di belakang juara.

Tempat ketiga menjadi milik Kyrgyzstan yang mencatatkan masa 1:23:02s manakala pasukan Macau pula menduduki tempat keempat dengan masa 1:23:28s.

Sementara itu, atlet muda negara Ashven Mannon dan Thye Ju Qi berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila masing-masing menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik kategori lelaki bawah 15 tahun (B15) pada Piala Remaja Triatlon Asia Kampar 2026.

Ashven menduduki tempat ketiga dengan catatan masa keseluruhan 36 minit 50 saat manakala Thye berada di kedudukan kelima selepas mencatat masa 38 minit 08 saat dalam acara Super Sprint lelaki B15.

Pingat emas dalam kategori itu dimenangi atlet Republik Czech Maxim Strangmuller dengan masa 33 minit 23 saat, diikuti rakan senegaranya Hugo Keilwerth (35:29s).

Bagi kategori perempuan B15, atlet Filipina Lauren Lee Tan muncul juara dengan catatan masa 38 minit 12 saat, mengatasi dua wakil Republik Czech Sofie Pazderkova (38:39s) dan Ester Tobkova (39:16s).

Kejohanan yang berlangsung dari 11 Jun itu adalah edisi ketiga yang dianjurkan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Kampar dan disenaraikan dalam kalendar rasmi badan antarabangsa Triathlon Dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan daerah berkenaan sebagai antara destinasi triatlon utama di rantau berkenaan.  

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri  Loh Sze Yee, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Triathlon Malaysia Tony Tan Beng Hong.

Sementara itu, Loh berkata penganjuran kejohanan yang menghimpunkan kira-kira 500 atlet dari 34 negara dalam pelbagai kategori itu membuktikan keupayaan Perak sebagai hab pelancongan sukan bertaraf antarabangsa yang dianjurkan Persatuan Triathlon Negeri Perak dan Majlis Daerah Kampar.

Beliau berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform pembangunan sukan triatlon, malah menyumbang kepada usaha mempromosikan Perak sebagai destinasi pilihan pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.  

Menurut Loh, penyertaan atlet dari pelbagai negara termasuk rantau Asia, Oceania, Timur Tengah dan Amerika Latin itu memberi pendedahan meluas kepada keunikan produk pelancongan negeri, khususnya di Kampar yang semakin dikenali sebagai lokasi penganjuran acara sukan lasak dan rekreasi bertaraf dunia.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan