SUKAN > BERITA

Smash It With #FeiDin' Promosi Gaya Hidup Sihat Bersama Media

15/06/2026 05:51 PM

SUBANG JAYA, 15 Jun (Bernama) -- Penganjuran sesi badminton eksklusif ‘Smash It With #FeiDin’ oleh AIA Malaysia bersama beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani, bukan sekadar acara santai bersama media, sebaliknya bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat.

Program itu dianjurkan sempena ulang tahun ke-10 AIA Vitality dengan penyertaan kira-kira 30 pengamal media yang berpeluang berinteraksi serta bermain bersama pasangan beregu berkenaan, yang kini merupakan Duta Kesihatan dan Kesejahteraan AIA Malaysia.

Sze Fei berkata status mereka sebagai ikon sukan hadir bersama tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran bahawa kesihatan yang baik bermula daripada disiplin serta amalan harian yang dilakukan secara konsisten.

“Tujuan utama peranan kami sebagai duta adalah untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan. Ia bukan hanya menerusi sukan, tetapi juga melalui amalan dalam kehidupan seharian.

“Bagi saya, perubahan kecil yang dilakukan setiap hari mampu memberi impak besar dalam meningkatkan kualiti hidup untuk jangka panjang,” katanya pada program itu di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Izzuddin berkata, tanggungjawab mempromosikan gaya hidup sihat selari dengan sokongan korporat yang diterima, yang disifatkannya penting dalam memastikan kelangsungan kerjaya atlet profesional.

Menurutnya penglibatan syarikat swasta seperti AIA Malaysia amat signifikan, khususnya kepada atlet profesional bebas yang bergantung kepada penajaan bagi meneruskan saingan di peringkat antarabangsa.

“Sokongan seperti ini amat penting. Gaya hidup sihat sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kami sebagai atlet dan melalui peranan sebagai duta AIA Malaysia, kami dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan perkara yang sama,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak syarikat swasta mencontohi langkah AIA Malaysia dalam menyokong atlet profesional yang memerlukan tajaan bagi meneruskan kerjaya masing-masing.

Acara eksklusif itu dimulakan dengan sesi pemanasan badan sebelum diteruskan dengan perkongsian tip permainan badminton oleh pasangan beregu berkenaan.

Pengamal media yang hadir turut berpeluang menguji kemahiran badminton bersama Sze Fei dan Izzuddin sebelum program diakhiri dengan penyampaian cenderamata sebagai sebahagian daripada usaha AIA Malaysia memperkukuh hubungan dengan rakan media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan