SUKAN > BERITA

RCB Nagamaki Handle Grip Rekaan Tempatan Diiktiraf MBOR

15/06/2026 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Jenama pengeluar komponen dan aksesori motosikal terkemuka negara Racing Boy (RCB) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian menghasilkan pemegang grip motosikal rekaan tempatan pertama, RCB Nagamaki Handle Grip, yang digunakan dalam Kejohanan Dunia MotoGP.

Pengiktirafan itu diberikan susulan kejayaan penggunaan komponen motosikal berkenaan dalam perlumbaan motosikal profesional, termasuk oleh pelumba yang bersaing dalam kategori MotoGP, Moto2 dan Moto3, sekali gus membuktikan prestasi serta kebolehpercayaannya di pentas tertinggi sukan permotoran dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MKA, Bruce Lee berkata pihaknya amat berbangga menerima pengiktirafan daripada MBOR yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja kepada syarikat dan jenama RCB, malah kepada industri kejuruteraan serta pembuatan Malaysia secara keseluruhan.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa produk yang direka dan dibangunkan oleh rakyat Malaysia mampu bersaing di pentas MotoGP bersama produk terbaik dunia.

“Ia juga mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap aspek kualiti, prestasi dan inovasi dalam pembangunan produk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

RCB Nagamaki Handle Grip direka dan dibangunkan sepenuhnya di Malaysia oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Kumpulan MKA. Pembangunannya bermula pada Disember 2020 dengan penekanan khusus terhadap aspek ergonomik, kawalan serta prestasi pelumba dalam keadaan perlumbaan yang ekstrem.

Reka bentuk produk itu diinspirasikan daripada tsuka (pemegang pedang katana) serta teknik lilitan tradisional Jepun, tsukamaki, yang menampilkan corak anyaman unik bagi meningkatkan keselesaan, kestabilan dan kawalan ketika menunggang.

Selain itu, reka bentuk berkenaan membantu mengurangkan getaran, meminimumkan keletihan serta kebas pada tangan, di samping meningkatkan maklum balas sentuhan dan memberikan kestabilan cengkaman yang lebih baik ketika tunggangan berkelajuan tinggi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan