KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Jaringan lewat Shello Silverius berjaya memastikan kemenangan 2-1 buat skuad hoki lelaki Malaysia ke atas Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala Negara-Negara Lelaki FIH 2025-2026 di Cape Town, Afrika Selatan pada Rabu.
Namun, kemenangan itu masih belum memadai untuk pasukan kebangsaan melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan berkenaan.
Speedy Tigers menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan mengumpul enam mata, di belakang New Zealand yang mendominasi saingan dengan 12 mata manakala Jepun yang menduduki tempat kedua dan slot kelayakan terakhir ke separuh akhir mengutip tujuh mata.
Mengikut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke peringkat separuh akhir.
Sementara itu, pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Malaysia memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila Mohamad Akhimullah Anuar Esook membuka tirai jaringan menerusi gol padang seawal minit kelima.
Bagaimanapun, Korea Selatan berjaya bangkit dan menyamakan kedudukan pada minit ke-20 hasil gol padang Lee Gangsan.
Kedua-dua pasukan kemudian saling berbalas serangan sebelum Shello Silverius muncul wira apabila menjaringkan gol padang pada minit ke-58 sekali gus memastikan Malaysia meraih tiga mata.
Selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik, Malaysia kini akan beraksi dalam saingan penentuan kedudukan tempat kelima hingga kelapan.
Skuad negara dijadual berdepan Amerika Syarikat dalam perlawanan seterusnya pada Jumaat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial