KUALA NERUS, 26 Jun (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) akan mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu dalam masa terdekat, sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2026/2027 yang akan membuka tirainya Ogos depan.
Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pemilihan tersebut dibuat selepas melalui proses penilaian yang teliti bagi memastikan falsafah serta visi selari dengan perancangan jangka pendek dan panjang kelab.
Beliau berkata kehadiran ketua jurulatih baharu diharap dapat menjadi pemangkin ke arah usaha memperkukuh struktur pasukan serta membentuk skuad yang lebih kompetitif dalam menghadapi cabaran musim akan datang.
"Pelantikan tersebut merupakan antara agenda kelab dalam merangka hala tuju baharu pasukan yang lebih tersusun dan mampan menjelang musim baharu.
"Selain aspek teknikal, TFC turut memberi tumpuan kepada pembangunan pasukan secara menyeluruh termasuk penstrukturan semula beberapa bahagian operasi, pengukuhan identiti permainan serta pembangunan pemain sedia ada dan bakat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Syahrizan berkata sesi latihan rasmi pasukan dijadualkan bermula pertengahan Julai sebagai persediaan menghadapi pramusim.
Beliau berkata tempoh pramusim akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina kecergasan pemain, memperkukuh keserasian pasukan kejurulatihan baharu untuk menerapkan corak permainan serta pendekatan yang diinginkan.
"Musim 2026/2027 bakal menjadi titik permulaan kepada fasa baharu Terengganu FC dalam usaha membina semula kekuatan kelab dengan pendekatan lebih berhemah, realisitik dan mampan dalam memastikan kestabilan serta daya saing pasukan untuk jangka masa panjang.
"Pihak kelab akan terus berkongsi perkembangan terkini berkaitan pelantikan jurulatih, pembentukan skuad serta perancangan pramusim dari semasa ke semasa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial