SUKAN > BERITA

Piala Asia Timur Tumpuan Utama Skuad Besbol Lelaki Negara Tahun Ini

27/06/2026 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Skuad besbol lelaki negara akan memberi tumpuan kepada saingan Piala Asia Timur 2026 yang bakal berlangsung di Manila, Filipina Disember ini.

Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) Sazali Husain berkata saingan itu yang merupakan kejohanan antarabangsa utama bagi musim 2026 bakal menjadi pentas penting buat skuad elit negara dalam usaha memburu slot ke kejohanan Asia tahun hadapan. 

“Piala Asia Timur ini menghimpunkan negara-negara di rantau Asia Tenggara bersama Hong Kong. Ia merupakan kejohanan kelayakan ke kejohanan Asia," katanya selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Liga Isono Bawah-15 Rubber Besball di Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini hari ini. 

Beliau berkata senarai panjang pemain skuad lelaki telah dikenal pasti, manakala kem latihan pusat dijangka bermula dalam tempoh terdekat sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu selain perancangan membawa skuad negara ke Jepun pada September ini. 

Dalam perkembangan sama, Sazali berkata Malaysia bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Besbol Wanita Antarabangsa Malaysia pada Ogos ini, yang dijangka disertai pasukan kebangsaan Bangladesh, Indonesia dan Thailand, manakala penyertaan Singapura masih dalam proses pengesahan.

Mengulas mengenai temasya Sukan SEA 2027, Sazali berkata besbol tidak dipertandingkan pada edisi berkenaan.

Beliau turut mengakui kos penganjuran acara besbol di temasya pelbagai sukan adalah tinggi, namun BFM akan terus memberi fokus kepada program pembangunan serta penyertaan dalam kejohanan antarabangsa yang telah dirancang.

Terdahulu Sazali turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BFM dan ISONO Undouguten Co., Ltd yang menyalurkan tajaan tunai berjumlah sejuta yen (kira-kira RM25,000) daripada syarikat pengeluar peralatan besbol Jepun itu.

“Ini adalah sejarah buat kami kerana buat pertama kali sejak penubuhan persatuan pada 1998, kami menerima tajaan wang tunai daripada syarikat luar negara. Ia menunjukkan besbol Malaysia kini semakin dikenali di peringkat dunia dan saya percaya kita mampu melakukan sesuatu yang lebih baik," katanya. 

Beliau berkata dana tajaan itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuh program pembangunan akar umbi yang menjadi keutamaan BFM tahun ini menerusi penstrukturan semula laluan pembangunan pemain bermula daripada kategori B-8, B-10, B-12, B-14, B-15 sehingga ke pasukan elit negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan