SUKAN > BERITA

KLSCM 2026 Medan Pemilihan Awal Atlet Maraton Ke Sukan SEA 2027

30/06/2026 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Acara larian terulung negara, Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026 diumumkan sebagai medan rasmi pemilihan awal atlet maraton negara ke Sukan SEA 2027.

Timbalan Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata lima pelari terbaik, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita yang memenuhi had kelayakan akan dipilih dalam senarai awal ke temasya dwitahunan itu.

“Bagi kategori lelaki, had masa kelayakan ditetapkan ialah dua jam 45 minit manakala bagi wanita tiga jam 15 minit. Kita mahu memberi peluang kepada pelari-pelari baharu yang mempunyai cita-cita tinggi.

“Sebab itu, had masa ditetapkan agak longgar sedikit. Namun mereka berpeluang mengikuti program pembangunan di bawah Institut Sukan Negara (ISN) dan program latihan kejurulatihan supaya boleh capai masa lebih baik. Saya percaya dalam tempoh satu tahun, mereka boleh memperbaiki masa antara 10 hingga 15 minit dengan latihan yang betul,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Hisham mewakili MA menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan penganjur KLSCM, Dirigo Events yang diwakili pengarahnya Rainer Biemans.

MoU itu merangkumi kerjasama dalam menyediakan program pembangunan atlet yang lebih tersusun, pendedahan perlumbaan lebih meluas di peringkat serantau dan antarabangsa, akses kepada kemudahan serta perkhidmatan sains sukan di bawah ISN, selain program kejurulatihan secara kolaboratif.

Sementara itu, Wan Hisham berkata Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027 dijangka diperuntukkan tiga kuota bagi setiap kategori maraton lelaki dan wanita.

Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di empat kluster utama iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept 2027.

KLSCM merupakan acara larian jalan raya pertama dan satu-satunya di negara ini yang menerima pengiktirafan Label Elit daripada Olahraga Dunia, dengan edisi 2026 dijadual berlangsung pada 3 dan 4 Okt.

Sebanyak 40,000 pelari termasuk peserta dari 70 negara akan bersaing merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM500,000 bagi edisi tahun ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan