SUKAN > BERITA

BAJC: Gandingan Muda Negara Ke Separuh Akhir Beregu Wanita, Beregu Campuran

03/07/2026 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Gandingan muda negara Genevie Lim-Low Zi Yu mengesahkan slot ke separuh akhir acara beregu wanita Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) selepas menewaskan gandingan China Shi Si Chen-Xiang Yu Jin di Yatsushiro, Jepun, hari ini.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Yatsushiro City General Gymnasium, Genevie-Zi Yu tampil cemerlang apabila menundukkan pasangan lawan straight set 21-12, 21-16 dalam tempoh 41 minit.

Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berdepan cabaran getir pada separuh akhir esok apabila dijadual menentang pasangan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Aoi Banno-Yuzu Ueno.

Zi Yu turut mara ke separuh akhir acara beregu campuran selepas bergandingan dengan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan wakil Indonesia, Moses Andar Simanjuntak-Reya Azzahra Yulianti, 19-21, 21-15, 21-9 dalam aksi suku akhir hari ini.

Pasangan pilihan kedua itu dijadual berdepan wakil Taiwan, Lin Sheng Ming-Sun Liang Ching bagi merebut tiket ke pentas final yang berlangsung Ahad ini.

Bagaimanapun, cabaran perseorangan lelaki negara berakhir di peringkat suku akhir apabila Kong Wei Xiang dan Tiew Wei Jie masing-masing tersingkir.

Wei Xiang tewas 19-21, 20-22 kepada wakil Indonesia, Fardhan Rainanda Joe, manakala Wei Jie terpaksa akur selepas memberi tentangan sengit sebelum tunduk 21-16, 19-21, 21-23 kepada pemain China, Hong Tian Yue.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan