SUKAN > BERITA

Paulus Lepas Rindu, Kembali Ke BAM Selepas Empat Tahun

07/07/2026 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Selepas empat tahun meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ketua Jurulatih Beregu Singapura Paulus Firman teruja kembali menjejakkan kaki ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, yang sebelum ini disifatkan sebagai rumah keduanya.

Paulus yang pernah melatih kem beregu campuran dan beregu lelaki negara berkata kepulangannya kali ini bukan sekadar mengubat kerinduan tetapi turut membawa tujuh anak buahnya, termasuk beregu lelaki nombor satu Singapura Wesley Koh-Junsuke Kubo menjalani latihan bersama di ABM selama seminggu.

Beliau berkata peluang berlatih di ABM juga penting sebagai persiapan pemain menghadapi Terbuka Taiwan 2026 dari 28 Julai hingga 2 Ogos, diikuti Korea Masters 2026 dari 4 hingga 9 Ogos.

“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada BAM, khususnya Pengarah Kejurulatihan Beregu Rexy Mainaky dan Ketua Jurulatih Beregu Wanita Rosman Razak kerana memberikan kesempatan kepada kem beregu Singapura untuk berlatih di sini.

“Walaupun ada dalam kalangan pemain saya pernah bertemu dalam kejohanan sebelum ini, peluang berada di ABM memberikan pengalaman berharga untuk mereka mempelajari budaya dan kaedah latihan di sini,” katanya di sini hari ini.

Paulus mula menyertai BAM sebagai jurulatih beregu lelaki pada 2013 sebelum meninggalkan badan induk itu setahun kemudian untuk menyandang jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan Filipina.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu kembali menyertai BAM pada 2018 dan memainkan peranan penting membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga berjaya menembusi kelompok 10 terbaik beregu lelaki dunia.

Sejak membimbing kem beregu Singapura pada 2022, Paulus berkata para pemainnya telah mempamerkan tahap kemajuan baik sehingga dapat membawa pasangan beregu campuran Terry Hee-Jessica Tan layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Justeru, jurulatih berusia 58 tahun itu berharap untuk membantu lebih ramai wakil beregu daripada negara jiran itu beraksi di pentas Olimpik bagi edisi 2028 di Los Angeles.

Paulus ketika mengulas mengenai rombakan kem beregu lelaki Malaysia berkata langkah mencuba pasangan baharu sebagai sesuatu yang perlu dilakukan bagi mencari kombinasi terbaik.

Beliau berkata barisan kejurulatihan sudah semestinya membuat pertimbangan secara teliti sebelum menghasilkan gandingan baharu kerana kejayaan sesebuah pasangan bukan hanya bergantung kepada kemampuan individu tetapi juga keserasian dan karakter pemain.

Baru-baru ini, BAM melakukan rombakan sektor beregu lelaki negara dengan mencuba kombinasi baharu melibatkan Soh Wooi Yik yang dipasangkan dengan Man Wei Chong, Aaron Chia bersama Aaron Tai dan Tee Kai Wun bergandingan dengan Yap Roy King.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan