TINTA MINDA

INDUSTRI PENGHANTARAN MAKANAN HALAL PERLU KAWALAN KERAJAAN

01/05/2020 08:47 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr. Suhaimi Ab Rahman

Kerajaan telah mengeluarkan beberapa garis panduan berkenaan perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19 berlaku semasa perkhidmatan itu disampaikan kepada pelanggan.

Selaras dengan Tatacara KawalanPenghantaran Makanan yang dikeluarkanoleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pengangkutan mengeluarkan satu Garis Panduan UntukPerkhidmatan Penghantaran Makanandan Bungkusan Menggunakan Motosikal(Parcel Hailing – P Hailing) pada 20 April lalu bagi mengawal perkhidmatan penghantaran makanan kepada pelanggan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Garis panduan ini menetapkan bahawa para penghantar makanan dikehendaki menitik berat soal kebersihan dan kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial serta memastikan transaksi tanpa sentuhan dilakukan dengan pelanggan.

Selain itu, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan(KKM) juga mengeluarkan garis panduan mengenai keselamatan makanan yang dijual secara atas talian. Garis Panduan Keselamatan Makanan Bagi Produk Makanan Yang Dijual Dalam Talian (On-line) menyatakan penghantar makanan mestilah sentiasa bersih dan sihat, memastikan bungkusan tidak terbuka atau bocor, beg termal dalam keadaan bersih dan sentiasa ditutup rapat, masa makanan disediakan dinyatakan pada bungkusan, barangan peribadi tidak diletakan bersama makanan dan tiada pencemaran berlaku terhadap makanan yang dihantar.

Bagi tujuan pelaksanaan garis panduan ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta bersama-sama membantu pihak kerajaan dengan mengeluarkan permit kepada mereka yang layak sertamemantau pergerakan mereka. Sehubungan itu, PBT membuka pendaftaran kepada penghantar makanan dan hanya mereka yang diberi permit sahaja dibenarkan memberi perkhidmatan ini. Bagi tujuan pemantauan kesihatan pula, Kementerian Pengangkutan mensyaratkan setiap pemohon perlu berdaftar di bawah Mysejahtera yang dipantau MKN.

Kelangsungan Ekonomi

Secara umumnya, kita dapati inisiatif ini merupakan langkah amat baik daripada pihak kerajaan demi kelangsungan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat awam. Dalam mengimbangi keperluan pertumbuhan ekonomi, kerajaan juga tidak mengabaikan keselamatan awam dengan memastikan wabak COVID-19 tidak menular melalui perkhidmatan penghantaran malah pelanggan dapat menerima makanan berkualiti serta selamat.

Dari sudut ekonomi, industri penghantaran makanan boleh dianggap sebagai industri baharu yang mempunyai nilai jutaan ringgit. Berikutan penularan COVID-19, ia mengubah cara hidup masyarakat awam kepada suasana kebiasaan baharu (new normal) di mana kebanyakan aktiviti dilakukan secara dalam talian termasuk pesanan makanan. Kewujudan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran seperti Foodpanda dan Grabfood menyemarakkan lagi penggunaan perkhidmatan itu dalam kalangan pengguna.

Statista Market Forecast (2020) menunjukkan nilai pasaran industri perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian di Malaysia mencecah US$192 juta dengan 6.2 juta pengguna. Nilai pasaran ini dijangka terus meningkat sebanyak 17.9 peratus atau US$370 juta pada 2024. Segmen pasaran terbesar adalah segmen penghantaran dari restoran kepada pengguna (Restaurant – to – Consumer Delivery) iaitu sebanyak US$137 juta berbanding US$55 juta bagi segmen pelantar kepada pengguna (Platform – to – Consumer Delivery). Statistik ini adalah berdasarkan perkiraan awal secara konvensional tanpa mengambil kira perkembangan terbaharu yang berlaku semasa Perintah KawalanPergerakan dimulakan pada 18 Mac lepas berikutan penularan COVID-19. Secara logiknya sudah tentu nilai pasaran perkhidmatan penghantaran makanan secara dalam talian pada masa ini akan bertambah berlipat kali ganda. The Asean Post melaporkan sekurang-kurangnya 30 peratus peningkatan jualan dialami oleh restoran di Malaysia pada ketika ini.

Dalam masa sama, Foodpanda memeterai perjanjian dengan lebih daripada 18,000 restoran dengan 8,000 penghantar makanan berbanding Grab Food dengan 5,000 restoran dan10,000 penghantar makanan di seluruhnegara. Perkembangan ini menunjukkan perkhidmatan penghantaran makanan adalah penting, dan jika dikawal selia dengan baik ia boleh menjadi satu industri yang dapat membantu meningkatkan pendapatan negara.

Jaminan penghantaran makanan halal

Secara umumnya, perkhidmatan penghantaran makanan dikawal dengan baik oleh pihak kerajaan namun dalam konteks makanan halal, masih belum ada mekanisme khusus bagi mengawal perkhidmatan penghantaran makanan. Persoalannya ialah bagaimana perkhidmatan penghantaran makanan dikawal bagi memastikan makanan yang dihantar memenuhi keperluan halal antayyiban iaitu halal, bersih, selamat dan berkualiti.

MS2400-1:2019 (Sistem Pengurusan Rantaian Pembekalan Halal: Keperluan Umum Pengangkutan) yang dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia hanyalah piawaian halal umum berkaitan pengangkutan yang tidak mempunyai penguatkuasaan perundangan yang boleh digunakan jika berlakunya pelanggaran terhadap keperluan halalan tayyiban. Selain itu, tatacara perkhidmatan penghantaran makanan halal juga tidak dinyatakan dalam mana-mana piawaian yang boleh dijadikan garis panduan bagi industri ini. Kekurangan ini akan membuka ruang risiko yang luas terhadap integriti halal di mana ia boleh menjadi ancaman ke atas kelestarian industri perkhidmatan penghantaran makanan halal di Malaysia.

Dalam fiqh Islam, prinsip utama yang perlu dititikberatkan dalam perkhidmatan penghantaran makanan halal ialah pemisahan antara makanan halal danmakanan tidak halal. Kaedah fiqh menyebut ‘apabila perkara halal bercampur dengan perkara haram, maka perkara haram akan mengatasi perkara halal’. Pencemaran boleh berlaku sekiranya semasa penghantaran ia tidak mengambil kira kepentingan kebersihan makanan selain daripada percampuran dengan bahan tidak halal. Perkara ini memerlukan kawalan sewajarnya agar makanan yang dipesan benar-benar halal.

Bedasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Malaysia, pasaran halal Malaysia pada tahun 2016 mencecah US$60.7 billion dan akan meningkat kepada US$228.5 billion pada 2030. Sebanyak 70 peratus daripada jumlah pasaran ini adalah daripada industri makanan halal. Dengan perkembangan ini, kita tidak boleh menafikan bahawa perkhidmatan penghantaran makanan halal turut mempunyai permintaan tinggi dan iamenjadi semakin penting bukan sahaja semasa PKP tetapi pasca PKP kerana masyarakat telah mula mengamalkan cara hidup baharu (new normal). Oleh itu,satu mekanisme kawalan terhadap perkhidmatan ini perlu diwujudkan bagi memberi jaminan kepada masyarakat pengguna bahawa makanan yang dibawa atau dihantar itu benar-benar halal, bersih, selamat dan berkualiti. Malah, ia juga penting kepada pengusaha industri makanan halal kerana sekiranya terdapat aduan pengguna mengenai makanan yang diterima tidak memenuhi spesifikasi halal seperti dikehendaki, ia boleh memberi kesan kepada nama baik pengusaha industri makanan halal berkaitan.

-- BERNAMA

Professor Madya Dr Suhaimi Ab Rahman

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Penjanaan dan Jaringan Korporat danKomuniti), Sekolah Perniagaan danEkonomi

Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)