NOTA KAMPUS

NORMA BAHARU DALAM KEHIDUPAN MASYARAKAT

04/05/2020 11:15 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

Pada penghujung 2019, masyarakat dikejutkan dengan suatu fenomena baharu yang belum pernah dialami di dunia. Kemunculan penyakit yang dikenali sebagai virus COVID-19 menyebabkan seluruh masyarakat dunia menjadi panik dan ketakutan kerana ia boleh menyebabkan kematian. Keadaan dunia menjadi semakin kelam-kabut apabila dimaklumkan bahawa tidak ada vaksin yang ditemui untuk mengubati penyakit tersebut sehingga kini.

Pelbagai langkah dan inisiatif dilaksanakan oleh masyarakat dunia untuk mengekang virus ini daripada terus merebak ketempat lain. Di antara langkah yang telah diambil dan menampakkan keberkesanannya dalam mengawal jangkitan virus itu adalah kawalan pergerakan dan jarak sosial. Selain daripada itu, penjagaan kebersihan pada tahap maksimum turut membantu menyekat COVID-19 daripada merebak.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada berhadapan dengan senario sebegini. Mulai 18 Mac 2020, kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara holistik di seluruh negara. Di samping itu, jarak sosial dan penjagaan kebersihan menjadi agenda utama di negara ini sebagai usaha bersepadu untuk memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan. Semua aktiviti sosial dan kemasyarakatan yang biasa dilaksanakan sebelum ini terpaksa dibatalkan atau diberhentikan. Secara umumnya, apabila PKP dilaksanakan semua aktiviti masyarakat dan sosial di negara ini berada dalam keadaan statik.

Namun, senario sebegini boleh memberi implikasi yang negatif dan kurang sihat kepada kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dan negara jika ia berlarutan dalam jangka waktu yang lama. Di antara implikasi negatif yang akan dirasai oleh masyarakat dan negara sekiranya fenomena PKP berlarutan ialah kesan psikologi, sosial dan emosi masyarakat. Selain itu, negara juga tidak akan terlepas daripada kesan ekonomi dan politik.

SOP diperkenalkan

Untuk memastikan senario yang sedemikian tidak terjadi kepada masyarakat di negara ini, pelbagai Prosedur Operasi Standard (SPO) baharu diperkenalkan kerajaan seperti SOP pembelajaran dan pengajaran, aktiviti sosial, keagamaan, dan juga perkahwinan. Semua kaedah yang diperkenalkan ini merupakan suatu fenomena yang baharu kepada masyarakat di negara ini.

Budaya berjabat tangan yang menjadi amalan sebelum ini telah diganti dengan hanya meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat tanpa memerlukan sebarang sentuhan. Majlis pernikahanyang sebelum ini memerlukan bakal pengantin dan jurunikah serta ahli keluarga berada di tempat yang sama sudah tidak menjadi amalan semasa PKP dilaksanakan.

Selain daripada itu, aktiviti tempahan makanan dan barang keperluan seharian secara dalam talian menjadi semakian popular semasa PKP. Amalan sebegini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat bandar malah turut popular dalam kalangan masyarakat di luar bandar.

Ramai di antara mereka yang berada di luar bandar menggunakan peluang PKP ini untuk memasarkan hasil kampung mereka kepada masyarakat luar. Selain daripada hasil kampung, ramai juga dalam kalangan mereka turut memasarkan kemahiran seperti menjahit, menyulam dan sebagainya.

Norma baharu

Saya yakin, selepas hampir dua bulan masyarakat mengamalkan aktiviti seharian mereka secara dalam talian dan jarak sosial ini, pastinya amalan tersebut akan menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan mereka kelak. Perasaan selesa dan mudah semasa mengamalkan aktiviti seharian secara sedemikian akan mempercepatkan lagi proses pembudayaan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Senario bersesak yang sering dilihat sebelum ini mungkin tidaklagi berlaku selepas PKP ditamatkan kerana masyarakat sudah selesa dengan jarak sosial yang menjadi amalan semasa PKP dilaksanakan. Kecanggihan dan kemudahan teknologi yang adadi negara ini akan memudahkan lagi masyarakat untuk mengamalkan budaya baharu ini.

Akhirnya, semua amalan ini akan menjadi norma baharu kepada kehidupan masyarakat di Malaysia. Aktiviti yang dikategorikan sebagai norma baharu ini mungkin menjadi perkara baharu kepada masyarakat masa kini namun bakal menjadi amalan biasa bagi masyarakat masa depan.

--BERNAMA

Professor Dato Dr. Mohamamd Shatar Sabran merupakan Naib Canselor Universiti Sultan Idris (UPSI)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)