Dr Nazreena Mohammed Yasin, Hanisah Md. Idris
Media sosial kini bukan lagi sekadar platform untuk berhubung dan berkongsi maklumat, malah telah berkembang menjadi ruang penting dalam membentuk persepsi, mempengaruhi pendapat awam, dan menentukan hala tuju masyarakat.
Dalam konteks ini, pemimpin seperti pemimpin politik, organisasi, institusi pendidikan mahupun komuniti memainkan peranan yang signifikan dalam mencorakkan persekitaran digital yang sihat.
Penggunaan media sosial oleh pemimpin bukan sahaja mencerminkan gaya kepimpinan mereka, malah turut memberi kesan langsung terhadap tingkah laku pengikut dan masyarakat pada umumnya.
Media Sosial sebagai Alat Komunikasi Pemimpin
Perkembangan pesat teknologi digital telah menjadikan media sosial sebagai medium komunikasi yang pantas, terbuka dan tanpa sempadan.
Pemimpin hari ini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada saluran tradisional seperti sidang media atau kenyataan rasmi untuk menyampaikan maklumat ataupun perlu bergerak ke sesuatu lokasi bagi bersemuka dengan pemimpin lain untuk berhubung.
Sebaliknya, mereka boleh berinteraksi secara terus dengan masyarakat melalui pelbagai platform digital. Keadaan ini memberi kelebihan dari segi ketelusan dan kecekapan komunikasi.
Namun begitu, kebebasan ini turut menuntut tahap tanggungjawab yang tinggi kerana setiap kenyataan, perkongsian dan reaksi yang dibuat mampu memberi kesan meluas dalam jangka masa yang singkat.
Contohnya, perkongsian sesuatu maklumat boleh dilakukan dengan pantas dan ini boleh mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap apa yang dikongsikan.
Dalam landskap global, media sosial sering digunakan oleh pemimpin-pemimpin untuk menyampaikan dasar, menjelaskan isu semasa serta membina hubungan dengan masyarakat.
Pendekatan ini mampu meningkatkan kepercayaan dan keterbukaan, terutamanya apabila maklumat disampaikan secara telus, jelas dan berhemah.
Selain itu, media sosial juga menjadi platform bagi pemimpin untuk menunjukkan contoh yang positif dalam nilai kepimpinan mereka seperti rasa empati, integriti, dan akauntabiliti.
Perkongsian yang bersifat membina dan informatif mampu mewujudkan budaya komunikasi yang lebih matang serta menggalakkan masyarakat untuk saling berinteraksi berhubung dengan isu-isu yang diketengahkan.
Sebagai contoh, penggunaan media sosial oleh pemimpin negara turut memperlihatkan bagaimana platform digital dimanfaatkan untuk berhubung secara langsung dengan rakyat.
Pendekatan ini membolehkan maklumat disampaikan dengan lebih pantas, selain membuka ruang komunikasi dua hala antara pemimpin dan masyarakat.
Melalui perkongsian maklumat, respons terhadap isu semasa serta mesej berkaitan kebajikan rakyat, media sosial menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Pada peringkat antarabangsa pula, ramai pemimpin negara memanfaatkan platform digital untuk berinteraksi terus dengan rakyat, menunjukkan media sosial sebagai saluran komunikasi yang lebih terbuka dan responsif.
Cabaran dan Tanggungjawab Pemimpin
Namun demikian, penggunaan media sosial yang tidak terkawal oleh pemimpin boleh membawa banyak implikasi.
Kenyataan yang bersifat provokatif, tidak sahih atau dibuat secara tergesa-gesa boleh mencetuskan salah faham, konflik dan polarisasi dalam masyarakat.
Dalam era penyebaran maklumat yang pantas, pastinya akan timbul penyalahtafsiran dan perbezaan pandangan oleh pelbagai pihak. Justeru, pemimpin perlu lebih berhati-hati dalam memilih bahasa, nada, dan konteks sebelum membuat sebarang perkongsian.
Tindakan ini penting bagi memastikan komunikasi yang disampaikan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Oleh itu, pemimpin harus menitikberatkan penggunaan bahasa yang berhemah bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan atau salah faham.
Selain itu, pemimpin juga berperanan sebagai role model kepada pengguna media sosial yang lain.
Tindak balas digital yang dipamerkan sering menjadi rujukan serta contoh kepada masyarakat, khususnya golongan muda.
Sekiranya pemimpin mengamalkan komunikasi yang beretika, menghormati perbezaan pandangan dan mengelakkan serangan peribadi, pendekatan tersebut berpotensi membentuk budaya digital yang lebih sihat.
Sebaliknya pula, perilaku tidak beretika pemimpin akan berpotensi menormalisasi tindakan negatif dalam kalangan pengikut.
Keadaan ini boleh mendorong peniruan sosial di platform digital, kerana sesetengah individu mungkin menganggap tingkah laku pemimpin sebagai satu piawai kelakuan yang boleh diterima.
Untuk mewujudkan ekosistem digital yang sihat, pemimpin hendaklah berperanan dalam menangani dan membanteras penyebaran maklumat palsu atau tidak tepat.
Dalam era ledakan maklumat, masyarakat sering terdedah kepada pelbagai sumber yang tidak dapat disahkan kebenarannya.
Pemimpin yang bertanggungjawab akan lebih teliti dalam memastikan maklumat yang dikongsi adalah tepat, sahih, dan berpandukan sumber yang boleh dipercayai.
Selain itu, pemimpin juga boleh membantu mendidik masyarakat tentang kepentingan semakan fakta dan literasi digital bagi mengurangkan penyebaran maklumat yang boleh mengelirukan.
Kita juga boleh melihat bagaimana perdana menteri kita baru-baru ini mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dalam berkongsi maklumat di media sosial, terutamanya susulan isu harga minyak dan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat.
Beliau menekankan agar rakyat tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih selain menyifatkan penyebaran berita palsu ketika krisis sebagai pengkhianatan kepada negara.
Ini merupakan salah satu contoh yang baik di mana pemimpin memberi peringatan kepada rakyat supaya menggunakan platform media sosial dengan bijak dan berhemah.
Kepimpinan Digital pada Peringkat Global
Pada skala global, penggunaan media sosial oleh pemimpin turut mempengaruhi hubungan antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Platform digital membuka ruang interaksi merentas budaya, agama, dan negara.
Dalam konteks ini, pemimpin perlu lebih sensitif terhadap kompleksiti tersebut. Kenyataan yang dibuat bukan sahaja dilihat dan dinilai oleh komuniti setempat, malah turut diperhatikan oleh khalayak antarabangsa.
Oleh itu, pendekatan yang inklusif, berhemah, dan menghormati kepelbagaian amat penting bagi memastikan mesej yang disampaikan tidak menyinggung mana-mana pihak.
Tambahan pula, media sosial juga boleh menjadi pemangkin dalam menggalakkan nilai positif seperti kerjasama, kesukarelawanan, dan tanggungjawab sosial.
Perkongsian mengenai inisiatif komuniti, program kebajikan atau usaha pembangunan masyarakat mampu mencetuskan inspirasi kepada orang ramai untuk turut serta.
Dalam hal ini, pemimpin bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga menggerakkan masyarakat ke arah tindakan yang lebih konstruktif.
Pendekatan ini secara tidak langsung membantu mewujudkan ekosistem digital yang lebih seimbang dan bermanfaat.
Walau bagaimanapun, antara cabaran utama yang dihadapi oleh pemimpin dalam penggunaan media sosial ialah keperluan untuk mengimbangi antara keterbukaan dan profesionalisme.
Media sosial yang bersifat santai kadangkala mendorong gaya komunikasi yang kurang formal.
Namun, pemimpin tetap perlu mengekalkan imej profesional dan memastikan setiap perkongsian selaras dengan peranan mereka.
Ketelusan tidak bermaksud berkongsi semua perkara tanpa batasan, sebaliknya memerlukan pertimbangan yang teliti terhadap impak pada masa hadapan sesuatu kenyataan yang disiarkan di media sosial.
Selain itu, pemimpin juga perlu mengambil kira aspek keselamatan siber dan privasi.
Pendedahan maklumat sensitif atau tidak sesuai boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan isu-isu yang dibangkitkan oleh pihak yang mahu mengambil kesempatan.
Dalam konteks ini, kesedaran terhadap keselamatan digital menjadi elemen penting dalam memastikan media sosial sebagai elemen yang selamat dan berintegriti.
Pemimpin yang memahami risiko ini mampu mengurus komunikasi digital mereka dengan lebih berkesan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, media sosial telah mengubah landskap kepimpinan tradisional kepada kepimpinan moden.
Pemimpin dinilai bukan sahaja melalui tindakan mereka, tetapi juga cara mereka berkomunikasi dalam ruang digital.
Penggunaan media sosial perlu berpaksikan integriti, tanggungjawab, dan kebijaksanaan, kerana setiap perkongsian mampu membentuk persepsi masyarakat, sama ada positif atau negatif.
Dengan pendekatan berhemah, media sosial boleh menjadi alat berkesan untuk menyebarkan maklumat bermanfaat, memperkukuh hubungan dengan masyarakat, dan membentuk budaya komunikasi yang matang.
Pemimpin yang bijak menggunakan platform ini bukan sahaja menyampaikan mesej dengan berkesan, tetapi juga membantu mewujudkan persekitaran siber yang positif, beretika, dan selamat untuk semua.
-- BERNAMA
Dr Nazreena Mohammed Yasin ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Hanisah Md. Idris ialah Bekas Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).