Keputusan kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas merupakan satu langkah yang bijak. Ia adalah antara langkah yang mampu memutuskan penularan virus corona dalam kalangan penduduk di Malaysia. Wabak Virus Corona atau lebih dikenali sebagai COVID19 diisytiharkan sebagai wabak pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 12 Mac lepas yang sehingga kini menjangkiti kira-kira 2.9 juta penduduk di seluruh dunia dengan kira-kira 200,000 kematian dilaporkan. Malaysia mendapat pujian antarabangsa baru baru ini atas keberkesanannya mengawal penularan wabak COVID19 berbanding negara-negara ASEAN lain.
Berikutan COVID-19 di Malaysia, premis perniagaan tertentu seperti kedai runcit, pasar, farmasi dan yang berkenaan hanya dibenarkan beroperasi pada masa singkat dengan pergerakan terkawal manakala aktiviti perniagaan dan operasi premis perniagaan lain termasuk industri pertanian diarahkan ditutup sehingga PKP ditarik balik oleh kerajaan. Hanya beberapa ladang atau kawasan pertanian yang dibenarkan beroperasi pada kadar terhad serta dengan pengawasan rapi oleh pihak berwajib.
Langkah jamin pengeluaran agromakanan segar
Keadaan ini pastinya memberi kesan jangka panjang yang membimbangkan khususnya untuk sektor bekalan agromakanan segar negara. Malaysia merupakan pengimport agromakanan segar khususnya sayur-sayuran dan buah-buahan pada kadar yang tinggi. Sejak 2010 hingga 2019, Malaysia mengalami dagangan defisit bagi agromakanan segar (sayuran dan buah-buahan) dan angka ini dijangka bertambah pada tahun-tahun akan datang. Nilai import agromakanan segar (khususnya untuk sayur-sayuran dan buah-buahan ) yang tinggi telah mendapat perhatian kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke 12 namun, ia masih pada peringkat perancangan dan belum dilaksanakan sepenuhnya.
Wabak COVID-19 telah menyebabkan industri pertanian bergerak pada kadar yang perlahan dan terkawal. Sekiranya, langkah-langkah pemulihan tidak dilakukan segera, Malaysia bakal menghadapi masalah kekurangan agromakanan segar pada akhir 2020. Keadaan ini lebih membimbangkan apabila beberapa negara pengeksport seperti Myanmar, Thailand dan Australia menghentikan aktiviti eksport agromakanan segar bagi memastikan bekalan makanan tempatan dalam negara berkenaan mencukupi.
Sehubungan itu, kerajaan disarankan agar mengambil lima langkah berikut bagi memastikan rantaian bekalan agromakanan segar Malaysia berada pada kadar pengeluaran yang boleh menampung keperluan penduduk Malaysia.
1) Membenarkan Penanaman Terfokus : Tanaman Kontan Dan Terpilih
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) perlu mengenal pasti senarai tanaman kontan popular, sayur-sayuran terpilih dan buah-buahan terfokus untuk diusahakan sepanjang PKP berlangsung. Pihak industri atau para pengusaha sayur-sayuran dan buah-buahan sedia ada perlu diberikan kebenaran (permit) untuk melakukan aktiviti pertanian berkenaan secara terkawal dan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
2) Wartakan Kawasan Penanaman Hijau (Bebas COVID-19)
Beberapa kawasan luar bandar yang bebas pandemik ini boleh diwartakan sebagai kawasan Hijau dan dibenarkan melakukan aktiviti khusus pertanian. Sebagai contoh, daerah Tenom merupakan pengeluar beberapa tanaman agromakanan segar seperti buah pamelo di pedalaman Sabah dan sehingga kini dilaporkan bebas COVID19. Usaha untuk penanaman aktiviti pertanian di daerah Tenom perlu digiatkan dan pada masa yang sama laluan utama ke daerah ini dikawal sepenuhnya. Aktiviti pertanian tidak terhad kepada tanaman sedia ada tetapi juga pada senarai keperluan yang dikenal pasti oleh pihak MOA (khususnya bagi tanaman kontan yang mengambil masa kurang dari 6 bulan untuk membuahkan hasil)
3) Insentif Pengeluaran Hasil Tanaman Terfokus
Pihak MOA perlu menyediakan insentif pengeluaran hasil tanaman terfokus bagi memastikan produktiviti pengeluaran hasil tanaman adalah pada kadar yang tinggi dan pada harga yang berpatutan. Insentif Pengeluaran adalah lebih berkesan berbanding subsidi penanaman kerana insentif pengeluaran akan memastikan pengusaha sayur dan buah untuk berusaha mengeluarkan hasil pertanian yang tinggi dan berkualiti. Semakin tinggi hasil pengeluaran sayur dan buah maka semakin banyak insentif pengeluar yang diterima pengusaha sayur dan buah.
4) Memberi Pinjaman Mikro Pantas Kepada Pengusaha Sayur-sayuran dan buah-Buahan
Dalam keadaan ekonomi sekarang, para pengusaha sayur dan buah-buahan memerlukan suntikan modal bagi memastikan operasi pertanian berjalan dengan baik. Sememangnya bantuan kerajaan yang diberikan sebelum ini akan memberikan kelegaan kepada para pengusaha sayur dan buah-buahan namun dengan adanya pinjaman mikro pantas, ia akan menjamin aktiviti pertanian dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pinjaman Mikro Pantas disarankan pada nilai RM50,000 dan ke bawah dengan kadar faedah di bawah 2 peratus, moratorium selama 6 bulan dan tanpa kolateral. Kerajaan mempunyai banyak agensi yang dapat menawarkan mikro kredit sedemikian seperti Agrobank, TEKUN, AIM dan sebagainya.
5) Menubuhkan Pusat Pengumpulan Digital
Sejak wabak COVID-19 melanda, pelbagai pihak mula membangunkan applikasi telefon mahupun perhubungan melalui social media (Whatsapp dan Facebook) bagi memastikan penjualan agromakan segar berjalan dengan baik. Namun, beberapa isu lambakan sayur dilaporkan berlaku seperti di Kundasang, Sabah dan Cameron Highlands, Pahang. Ini berlaku disebabkan oleh pengeluaran hasil pertanian yang melebihi permintaan setempat dan penghantaran sayuran ke pusat pengumpulan pula adalah terhad. Keadaan ini menjadi lebih menyukarkan apabila tempoh hayat sayuran berkenaan adalah pada tempoh kurang dari 5 hari selepas dituai. Pembelian setempat hanya pada kadar yang sedikit, sedangkan pengeluaran sayuran adalah pada skala yang lebih besar. Kebiasaannya para pengusaha sayuran (Kundasang / Cameron Highlands) menjualnya kepada pemborong dan pemborong akan merentasi daerah ,negeri atau negara untuk menjualnya pula. Oleh itu, adalah disarankan agar Pusat Pengumpulan Digital (PPD) dibangunkan bagi menghubungkan penjual dan pemborong. Konsep PPD adalah sama seperti Pusat Pengumpulan Tani tetapi lebih cekap dan sistematik. Melalui PPD, transaksi jualan akan lebih telus, nama penjual dan pembeli diketahui, pasaran akan lebih terjamin dan isu kebolehlihatan (traceability) juga dapat diatasi.
Saya percaya semua cadangan ini boleh diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan khususnya MOA dan FAMA, namun kebolehlaksanaan dan keberhasilan perancangan berkenaan bergantung kepada kerjasama yang baik daripada semua pihak (pengusaha, agensi kerajaan, pemborong, dan pengguna). Secara ringkasnya, kita perlukan industri agromakanan segar dapat diteruskan semasa PKP bagi memastikan bekalan makanan agromakanan segar yang berterusan.
-- BERNAMA
DR BONAVENTURE BONIFACE adalah Pensyarah Kanan, Pusat Penataraan Ilmu dan Bahasa,
Universiti Malaysia Sabah (UMS)