TINTA MINDA

JANGAN KETEPIKAN ANCAMAN DENGGI !

18/05/2020 08:55 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman

Malaysia kini dilanda wabak pandemik koronavirus atau COVID-19 dan saban hari masyarakat didedahkan dengan perkembangan terkini virus tersebut. Namun, kita jangan lalai dan leka dengan peningkatan satu lagi endemik jangkitan iaitu denggi yang juga boleh membunuh jika kita tidak berwaspada.

Jika kes denggi meningkat dengan mendadak, sudah pasti ia menjadi satu lagi ‘dugaan hebat’ bagi kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang masih berhempas pulas memerangi COVID-19.

Demam denggi berpunca daripada jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti. Nyamuk yang dijangkiti berupaya menyebarkan penyakit berkenaan dalam jangka masa 8 hingga 12 hari selepas menghisap darah manusia (perumah). Sehingga kini, masih tiada rawatan khas untuk demam denggi kecuali langkah pencegahan. Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut. Kumpulan yang berisiko tinggi adalah penduduk dan pelawat kawasan endemik denggi dan kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah, dengan penyakit ini menjadi lebih teruk dan sering membawa kematian kepada kumpulan tersebut.

Malaysia masih belum dapat mengekang wabak denggi malah, setiap tahun berlaku peningkatan dalam jumlah penyakit ini. Dari 29 Dis 2019 hingga 25 April 2020, KKM melaporkan sejumlah 39,002 kes denggi di seluruh negara dengan jumlah kumulatif 64 kematian. Jumlah kes tertinggi yang pernah dicatatkan adalah pada 2015 dengan 120,835 kes dan 336 kematian.

Tren peningkatan membimbangkan

Demam denggi sering kali berlaku di kawasan bandar dan sekitarnya di negara rantau tropika. Insidens global demam denggi telah meningkat dengan mendadak dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Kini demam denggi merupakan endemik di lebih 100 negara rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat. Seramai 2,500 juta manusia iaitu dua per lima penduduk dunia menghadapi risiko menghidapi demam denggi. Tanpa rawatan bersesuaian, kadar kematian akibat demam denggi berdarah mencapai 15 peratus atau lebih. Justeru itu, pada 2012 WHO mengklasifikasikan denggi sebagai penyakit bawaan nyamuk yang amat penting untuk diberikan perhatian ekoran daripada penularannya yang pantas dengan 50 juta kes dilaporkan berlaku setiap tahun di seluruh dunia, dan jumlahnya mungkin 4 kali ganda lebih besar disebabkan terdapat banyak kes yang tidak dilaporkan.

Di Malaysia, kadar insidens demam denggi dan demam denggi berdarah adalah masing-masing 118.3 dan 5.1 bagi setiap 100,000 penduduk. Dari Januari hingga September 2019 sahaja, sebanyak 143 kematian dilaporkan berbanding 99,166 kes denggi yang dicatatkan di seluruh negara. Bagi tempoh yang sama pada 2018, sebanyak 89 kematian direkodkan daripada 54,379 kes denggi yang mencatatkan peningkatan sebanyak 161 peratus. Apa yang membimbangkan adalah bagi tempoh tiga minggu pertama 2020, sebanyak 18,473 kes denggi direkodkan di seluruh negara dengan 13 kematian.

Dalam tempoh 29 Dis 2019 hingga 8 Feb 2020, Selangor mencatatkan 11,338 kes dan lima kematian. Sehingga minggu ke-17 dalam 2020, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi dengan 23,402 kes diikuti Kuala Lumpur (3,243 kes) dan Johor (3,242 kes).

Tiada kerjasama masyarakat

Peningkatan mendadak berlaku disebabkan beberapa faktor seperti cuaca dan sikap masyarakat yang kurang menjaga kebersihan di persekitaran kediaman masing-masing termasuk tidak membersihkan bekas takungan air tempat nyamuk membiak di samping melupus sampah secara tidak sempurna yang akhirnya menyebabkan jentik-jentik mudah membiak dan menyumbang kepada bertambahnya kes demam denggi.

Keadaan cuaca yang panas dengan suhu harian yang tinggi dan kemarau berlanjutan diikuti dengan hujan yang lebat seperti yang dialami sekarang mempercepatkan kitar hidup patogen dalam vektor atau perumah iaitu nyamuk. Pola taburan hujan pula akan mempengaruhi habitat larva dan saiz populasi vektor.

Walaupun pihak berkuasa tempatan kerap menganjurkan kempen menjaga kebersihan di kawasan wabak tetapi, sambutan masyarakat setempat kurang menggalakkan. Malah, kempen membersih kawasan rumah 10 minit seminggu bagi membanteras tempat pembiakan nyamuk aedes juga dipandang sepi oleh sebahagian besar ahli masyarakat.

Justeru itu, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap penduduk yang enggan memberi kerjasama dalam aspek kebersihan sehingga mengundang wabak denggi. Antaranya dengan mengenakan kompaun supaya masyarakat lebih berwaspada dan menjaga kebersihan kawasan kediaman masing-masing. Mengikut Seksyen 13(2), Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, kompuan RM500 boleh dikenakan pada individu yang memiliki jentik-jentik di dalam dan persekitaran rumah mereka, terutama membabit kawasan wabak deman denggi.

Usaha kolektif dan bersepadu oleh semua pihak sangat perlu bagi menjamin kejayaan pencegahan denggi secara berterusan. Sebenarnya jika kita prihatin, pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mencegah penyakit ini termasuk:

i) memusnahkan tempat pembiakan nyamuk seperti membuang bekas yang boleh menakung air

ii) menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk

iii) mengambil langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti memasang ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup).

Selain itu, pengetahuan tentang habitat, kitar hidup serta bahaya gigitan nyamuk dalam kalangan masyarakat adalah sangat penting bagi membanteras perebakan ketara kes denggi.

Ambillah peluang kala PKP ini untuk membersihkan kawasan sekitar rumah agar bebas daripada menjadi habitat nyamuk Aedes. Janganlah kerana gerun dengan serangan COBID-19, kita memandang mudah mengenai ancaman denggi. “Cegahlah sebelum ia menjadi parah”.

--BERNAMA

Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman adalah Ketua Laboratori, Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)