Oleh Dr. Salwa Mahmood dan Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin
Penggunaan kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Perkembangan pesat teknologi EV menjadikan bateri sebagai komponen utama dalam peralihan kepada mobiliti hijau. Namun, sepanjang kitaran hayatnya, bateri EV dikaitkan dengan pelbagai kesan alam sekitar.
Sejajar dengan keperluan kelestarian ini, Malaysia Productivity Corporation (MPC) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah melancarkan garis panduan pengurusan kenderaan elektrik dan baterinya pada Oktober 2024. Langkah proaktif ini bertujuan memastikan industri mengendalikan bateri EV secara selamat dan mampan, termasuk kaedah pelupusan yang sesuai bagi mengurangkan impak alam sekitar.
Keselamatan dan Tanggungjawab Alam Sekitar
Garis panduan ini menjadi rujukan utama industri dalam memastikan keselamatan pengendalian bateri litium EV. Penekanan diberikan kepada pencegahan bahaya kebakaran dan letupan serta pelupusan sisa bateri secara lestari bagi mengurangkan jejak karbon. Penggunaan bahan mampan dalam pembuatan bateri juga menjadi faktor utama yang perlu dipertimbangkan.
Inovasi melalui penyelidikan amat digalakkan, terutamanya dalam aspek bahan mampan, jejak karbon, serta penilaian kitaran hayat bateri. Satu persoalan penting yang wajar diberi perhatian adalah sejauh mana EV benar-benar mengurangkan jejak karbon berbanding kenderaan berasaskan bahan api fosil, memandangkan penghasilan elektrik itu sendiri turut menyumbang kepada pelepasan karbon dan pemanasan global. Oleh itu, sebelum Malaysia terburu-buru mengikut trend EV hanya kerana FOMO (fear of missing out), kajian mendalam perlu dijalankan bagi memastikan peralihan ini benar-benar memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi negara.
Tindakan strategik
Bagi memastikan kemampanan bateri EV, penilaian holistik diperlukan, merangkumi pelbagai faktor semasa dan masa hadapan. Antara tindakan utama yang boleh diambil termasuk:
Peranan Industri dan Pematuhan Piawaian
Cadangan peraturan ini akan melibatkan keseluruhan rantaian nilai bateri EV. Sebagai contoh, pembekal sel dan modul bateri perlu menyediakan dokumentasi pematuhan kepada pengeluar bateri. Produk yang dihasilkan juga mesti mematuhi piawaian keselamatan, termasuk keperluan pelabelan dan penandaan.
Pengiraan Jejak Karbon Bateri: Langkah wajib
Di peringkat antarabangsa, Parlimen Eropah telah meluluskan garis panduan berkaitan bateri EV pada Julai 2023. Semua bateri yang dijual atau digunakan dalam Kesatuan Eropah perlu mengisytiharkan jejak karbonnya bagi memenuhi piawaian kemampanan.
Pengiraan jejak karbon ini melibatkan jumlah gas rumah hijau yang dilepaskan dalam bentuk kilogram karbon dioksida bersamaan (CO2e) bagi setiap kilowatt-jam (kWh) tenaga yang dibekalkan sepanjang hayat bateri. Keperluan ini digunakan untuk tiga kategori bateri:
Jika peraturan ini diperkenalkan di Malaysia menjelang 2025, dalam tempoh tiga tahun seterusnya bateri yang dijual di pasaran boleh dilabelkan mengikut kelas prestasi jejak karbonnya. Menjelang 2030, semua bateri EV perlu mematuhi ambang maksimum jejak karbon yang ditetapkan.
Ke arah masa depan mobiliti hijau
Langkah-langkah yang diambil ini akan membantu memastikan Malaysia terus maju dalam teknologi EV sambil mengekalkan keseimbangan antara kemajuan industri dan kelestarian alam sekitar. Pelaksanaan garis panduan ini bukan sahaja memastikan keselamatan pengguna, tetapi juga menggalakkan inovasi dalam pembangunan bateri yang lebih mampan dan mesra alam.
-- BERNAMA
Dr. Salwa Mahmood ialah Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Prof. Madya Dr. Ezrin Hani Sukadarin ialah Ketua Kumpulan Fokus (FG) Fakulti Teknologi Kejuruteraan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)