TINTA MINDA

RANCANGAN PERBELANJAAN : KELEBIHAN, PANDUAN DAN TEKNIK

30/05/2020 02:35 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri

Kajian bertajuk “Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan” oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2018 menunjukkan bahawa lebih daripada dua pertiga (76%) rakyat Malaysia mempunyai bajet untuk berbelanja, namun dua daripada lima orang menyatakan bahawa mereka sukar mengikuti apa yang telah dirancang.

Berdasarkan penyelidikan penulis berkaitan dengan tingkah laku pengurusan kewangan dalam kalangan isi rumah di Malaysia, antara jawapan yang sering diberikan oleh responden apabila diajukan soalan berkaitan rancangan perbelanjaan (bajet) ialah mereka tidak mengetahui bagaimana hendak menyediakan bajet, bajet ada disediakan tetapi jarang mengikuti apa yang telah dirancang (tidak berdisiplin), tiada panduan khusus untuk menyediakan bajet, pendapatan yang diterima tidak mencukupi, semua perbelanjaan tidak perlu dicatat kerana dalam minda dan pelbagai alasan lain lagi.

Dari segi takrifan, rancangan perbelanjaan atau bajet merujuk kepada cara bagaimana seseorang perlu mengimbangi wang yang ada (diterima) dengan wang yang dibelanjakan. Ianya merupakan satu rancangan untuk menguruskan kewangan dengan cara terbaik bagi mencapai keperluan dan kemahuan peribadi.

Membuat anggaran atau peruntukan perbelanjaan bagi memenuhi sesuatu keperluan untuk satu jangka masa tertentu misalnya sebulan atau setahun juga adalah akitiviti rancangan perbelanjaan. Tujuan utama penyediaan bajet adalah untuk memastikan wang yang dibelanja tidak melebihi wang atau pendapatan yang diterima di samping mengajar seseorang agar dapat berjimat dan menjadi pengguna yang berhemah.

Ramai orang yang tidak memahami bahawa menyediakan rancangan perbelanjaan bukanlah bertujuan untuk menyekat perbelanjaan tetapi sebenarnya ia menggalakkan kita untuk membuat peruntukan keperluan hidup mengikut keutamaan dan kepentingan.

Dalam bahasa paling mudah ia membantu kita hidup mengikut kemampuan masing-masing yang bersifat subjektif. Berikut merupakan beberapa kelebihan menyediakan bajet (rancangan perbelanjaan) antaranya ialah membantu menentukan kedudukan kewangan isi rumah, mengukur kemajuan matlamat kewangan yang telah ditetapkan, mengawal dan memantau perbelanjaan isi rumah, memupuk tabiat mengurus wang yang baik, menyediakan dana kecemasan dan membekalkan maklumat yang boleh digunakan untuk penyediaan cukai pendapatan.

Panduan Penyediaan Rancangan Perbelanjaan (Bajet)

Seorang pakar kewangan peribadi dan penulis buku yang terkenal iaitu Dave Ramsey telah mencadangkan peratus perbelanjaan yang boleh diperuntukkan mengikut kategori item perbelanjaan untuk dijadikan sebagai panduan. Beliau menyarankan agar pendapatan yang diterima boleh diagihkan mengikut item dan cadangan peratusan adalah seperti berikut: simpanan (10%), makanan (10-15%), utiliti (5-10%), perumahan (25%), pengangkutan (10%), kesihatan (5-10%), insurans (10-25%), rekreasi (5-10%), perbelanjaan peribadi (5-10%), pemberian (10%) dan lain-lain (5-10%).

Selain itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaya telah melancarkan panduan perbelanjaan yang dinamakan “Belanjawanku”. Belanjawanku ialah panduan yang menunjukkan perbelanjaan minimum bulanan atas setiap kategori barangan dan perkhidmatan untuk pelbagai isi rumah di Malaysia.

Belanjawanku boleh digunakan untuk merancang perbelanjaan peribadi dan keluarga bagi mencapai taraf hidup yang baik. Ia berdasarkan pola perbelanjaan sebenar barangan dan perkhidmatan oleh isi rumah di Lembah Klang. Berikut merupakan cadangan belanjawan mengikut kategori isi rumah yang telah dikenal pasti:

  • Bujang (pengguna kenderaan awam) = RM1,870
  • Bujang (pemilik kereta) = RM2,490
  • Berkahwin (tiada anak) = RM4,420
  • Berkahwin (1 anak) = RM5,730
  • Berkahwin (2 anak) = RM6,620
  • Pasangan warga Emas = RM3,090

Teknik Penyediaan Bajet

Terdapat pelbagai kaedah atau teknik yang boleh digunakan dalam membantu pengguna untuk menyediakan rancangan perbelanjaan (bajet). Di sini dibincangkan beberapa teknik yang boleh digunakan sebagai panduan asas untuk merangka rancangan perbelanjaan anda. Setiap teknik mempunyai keunikan tersendiri dan pemilihan teknik yang sesuai adalah bergantung kepada kedudukan kewangan dan gaya hidup seseorang.

1. Peraturan 70:20:10

Peraturan ini menyarankan agar pendapatan dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu perbelanjaan untuk keperluan hidup, simpanan dan hutang. Mengikut peraturan ini, sebanyak 70% pendapatan perlu diagihkan untuk keperluan perbelanjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup contohnya makanan, perumahan, pengangkutan pendidikan, penjagaan anak, kesihatan dan sebagainya. Manakala 20% pendapatan pula diagihkan untuk tujuan simpanan dan pelaburan. Ada juga pakar yang mencadangkan agihan 20% ini masih lagi boleh diperincikan kepada tiga aktiviti iaitu persaraan (10%), kecemasan (5%) dan impian (5%). Baki 10% lagi adalah untuk tujuan bayaran pinjaman misalnya kenderaan, pendidikan dan kad kredit.

2. Peraturan 60:20:20

Dalam peraturan ini, pendapatan dibahagikan kepada tiga komponen iaitu keperluan hidup, matlamat kewangan dan perbelanjaan budi bicara (discretionary). Sebanyak 60% pendapatan diagihkan untuk keperluan perbelanjaan seperti sewa/pinjaman perumahan, barang runcit (groceries), utiliti dan pengangkutan. Manakala sebanyak 20% lagi pendapatan boleh digunakan untuk keperluan matlamat kewangan misalnya pengurangan pinjaman (hutang), simpanan kecemasan dan pelaburan. Agihan 20% lagi boleh digunakan untuk perbelanjaan budi bicara contohnya hiburan, percutian dan makan di luar rumah.

3. Peraturan 60:20:10:10

Peraturan ini mencadangkan agar 60% pendapatan diperuntukkan untuk keperluan perbelanjaan kehidupan seperti perumahan, makanan, pengangkutan dan insurans/takaful termasuk hiburan. Sebanyak 20% perlu diagihkan untuk keperluan simpanan dan 10% lagi adalah untuk tujuan pelaburan. Baki 10% lagi dicadangkan untuk tujuan derma, sedekah dan pemberian kepada golongan yang memerlukan.

4. Peraturan 60:20:10:10

Peraturan ini mencadangkan agar 60% pendapatan diperuntukkan untuk keperluan perbelanjaan kehidupan seperti makanan, perumahan, kenderaan, sara hidup, utiliti, pendidikan dan pakaian. Sebanyak 20% perlu diagihkan untuk keperluan simpanan dan pelaburan. Sebanyak 10% pula diperuntukkan untuk keperluan insurans/takaful bagi perlindungan diri dan keluarga. Manakala baki 10% lagi dicadangkan untuk perbelanjaan budi bicara seperti makan di luar rumah, hiburan dan rekreasi.

5. Peraturan 60:40

Peraturan ini mencadangkan agar 60% pendapatan diagihkan untuk tujuan perbelanjaan penting iaitu perbelanjaan untuk memenuhi keperluan kehidupan seharian. Perbelanjaan ini termasuklah perbelanjaan ke atas item seperti makanan, perumahan, pengangkutan, utiliti, insurans/takaful dan internet. Baki sebanyak 40% pendapatan pula perlu diagihkan untuk simpanan persaraan (10%), simpanan jangka masa pendek (10%), simpanan jangka masa panjang (10%) dan hiburan (10%).

6. Peraturan 50:30:20

Dalam peraturan ini, individu dan keluarga disaran untuk membahagikan pendapatan mereka kepada tiga komponen utama iaitu perbelanjaan untuk keperluan, kehendak dan simpanan. Adalah dicadangkan bahawa sebanyak 50% pendapatan diagihkan untuk tujuan perbelanjaan keperluan seperti makanan, perumahan, utiliti, penjagaan kesihatan, pengangkutan, insurans/takaful dan sebagainya, Manakala sebanyak 30% pula adalah untuk perbelanjaan bagi memenuhi kehendak seperti hiburan, rekreasi dan makan di luar rumah di mana ianya bukanlah perbelanjaan yang penting. Sebanyak 20% lagi pendapatan perlu diagihkan bagi tujuan simpanan dan pelaburan.

7. Peraturan Satu Pertiga (1/3)

Peraturan ini mencadangkan agar pendapatan dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu perbelanjaan tetap, perbelanjaan berubah dan simpanan. Dalam peraturan ini, satu pertiga pendapatan perlu diagihkan ke atas item perbelanjaan tetap isi rumah seperti sewa/pinjaman perumahan, pemberian kepada ibu bapa dan persekolahan anak-anak. Satu pertiga lagi untuk perbelanjaan berubah seperti makanan, pakaian, pengangkutan, utiliti dan hiburan. Manakala bagi satu pertiga lagi perbelanjaan seharusnya diagihkan untuk tujuan simpanan. Ianya boleh diperincikan lagi di mana satu pertiga diagihkan untuk simpanan kecemasan, satu pertiga untuk tujuan pelaburan dan baki satu pertiga untuk keperluan perlidungan (insurans/takaful).

Kesimpulannya, setiap individu dan isi rumah perlu menyediakan rancangan perbelanjaan (bajet) mengikut keselesaan dan kemampuan kedudukan kewangan masing-masing. Bagi isi rumah yang sudah berkeluarga adalah disaran agar bincang bersama pasangan dan anak-anak dalam menentukan peruntukan yang sesuai untuk perbelanjaan keluarga. Teknik yang dibincangkan di atas adalah sekadar panduan untuk setiap individu dan isi rumah sudah pastinya mempunyai kaedah atau teknik yang biasa diamalkan. Menurut Beniratio Finances “No matter how financially stable you think you are; you still need a budget”.

-- BERNAMA

Prof. Madya Dr. Mohamad Fazli Sabri merupakan Timbalan Dekan (Pengajian Sisazah & Jaringan Industri & Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)