TINTA MINDA

LAKUKAN UJIAN KEWARASAN, EMOSI SEBELUM LULUS LESEN MEMANDU

01/06/2020 07:29 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Muzaffar Syah Mallow

Susulan bertambahnya kes kemalangan maut dan kecederaan parah melibatkan pemandu mabuk di negara ini, kerajaan perlu memperkenalkan satu bentuk ujian ketat bagi mengetahui tahap kewarasan mental dan kawalan emosi seseorang sebelum mereka diberi lesen memandu.

Ujian ketat berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja dibenarkan memandu di jalan raya negara kita.

Bendung pemandu ketagihan

Peraturan lebih tegas ini diperlukan untuk membendung pemandu yang mempunyai masalah ketagihan alkohol dan dadah sehingga menjejaskan tumpuan pemanduan mereka semasa di jalan raya.

Langkah ini juga boleh mengekang individu yang berisiko melakukan kesalahan jenayah jalan raya yang lain seperti pemanduan secara cuai atau melakukan perbuatan buli.

Selain daripada menguji tahap kemahiran memandu kenderaan, individu yang berhasrat mendapatkan lesen memandu juga perlu diuji dari aspek kewarasan minda serta kawalan emosi mereka.

Sebarang jenis lesen memandu tidak sepatutnya diberikan kepada individu yang didapati tidak memiliki tahap kewarasan atau kawalan emosi kerana mereka berisiko membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

Seseorang itu memerlukan tahap pemikiran dan emosi yang stabil serta tumpuan penuh ketika berada di atas jalan raya. Sekiranya didapati mengalami masalah ketagihan bahan yang boleh menjejaskan kewarasan, kawalan emosi serta tumpuan pemanduan, mereka tidak seharusnya diberikan sebarang jenis lesen pemanduan.

Semak peruntukan akta

Oleh itu, pihak kerajaan disarankan menyemak semula peruntukan undang-undang berkaitan dengan aspek pemberian lesen pemanduan sedia ada. Antara yang perlu disemak ialah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

Pindaan perlu dilakukan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya setiap jenis lesen pemanduan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diberikan hanya kepada yang layak yakni mental dan emosi adalah dalam keadaan baik dan bukan kerana mempunyai kemahiran memandu atau tahu menukar tayar.

Pihak kerajaan disaran menyemak Seksyen 29 dalam akta berkenaan yang mensyaratkan ujian kekompetenan memandu, Seksyen 30 yang berkaitan peruntukan mengenai kesihatan jasmani bagi pemohon lesen memandu, Seksyen 39 yang mengenakan sekatan pemanduan pihak bawah umur serta peruntukan lain dalam usaha melaksanakan cadangan ujian ketat berkenaan.

Pemeriksaan oleh pakar

Proses pemeriksaan tahap kewarasan dan emosi perlulah dilakukan oleh pakar dalam bidang berkenaan. Pemeriksaan teliti dan lebih ketat terhadap latar belakang setiap bakal pemandu perlu dilaksanakan bagi memastikan hanya yang layak sahaja dibenarkan memiliki lesen memandu kenderaan.

Selain bakal pemandu, ujian berkenaan juga harus dilakukan terhadap semua pemandu yang sudah memiliki lesen memandu di negara kita. Ujian ketat ini juga perlu dilakukan secara kerap seperti setahun sekali bagi memastikan tahap kewarasan dan emosi setiap pemandu adalah dalam keadaan baik.

Walaupun cadangan ini mungkin dianggap membebankan pemandu, namun ia harus dilihat dari sudut positif demi memastikan hanya pemandu yang layak sahaja berada di jalan raya selain dapat menjaga keselamatan diri sendiri dan insan lain.

--BERNAMA

Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU),Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)