TINTA MINDA

TEKNOLOGI PENDIGITALAN SISTEM PEMANTAUAN DAN PENGURUSAN ALAM SEKITAR DI MALAYSIA

06/06/2020 01:39 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Marfiah Ab Wahid

Proses pembangunan Malaysia ke arah pembentukan sebuah negara maju telah meningkatkan kesan sampingan yang amat ketara terhadap alam sekitar.

Bagi menjadikan Malaysia negara membangun seperti Jepun dan Amerika Syarikat, kelestarian alam sekitar tidak boleh dikorbankan. Ini adalah kerana kelestarian alam sekitar juga menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat di dalam sesebuah negara.

Sistem pengurusan alam sekitar yang lestari perlu mempunyai polisi yang jelas bagi menangani masalah alam sekitar dengan baik dan mempunyai tindakan kawalan yang berkesan.

Untuk membantu pembuat dasar menghasilkan polisi alam sekitar yang jelas dan berkesan, pelbagai kaedah, teori dan peralatan boleh dibangunkan dan digunakan. Sebagai contoh, pengumpulan data yang baik, sistem perkongsian maklumat secara berpusat dan pembangunan inovasi terkini untuk kaedah kawalan pencemaran dan penyebaran maklumat bagi mendidik masyarakat. Semua ini menawarkan sokongan untuk proses membuat keputusan, bergantung pada bagaimana ia digunakan.

Perlukan transformasi

Transformasi digital dalam pengurusan alam sekitar yang lebih lestari amat diperlukan kini terutama ketika kita turut berhadapan dengan kesan perubahan iklim yang ketara sehingga menyebabkan kematian serta kerosakan kepada harta benda, infrastruktur dan menjejaskan produktiviti ekonomi negara.

Pada 2014, Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) meramalkan perubahan iklim menimbulkan ancaman global yang besar, misalnya aras permukaan laut yang meningkat, keadaan cuaca yang sangat melampau, penurunan stok tanaman dan ikan serta kehilangan kepelbagaian bio.

Sebab utama yang menjurus kepada masalah ini adalah dari kegiatan manusia sendiri seperti pemusnahan habitat semulajadi, eksploitasi sumber alam secara berlebihan dan tidak teratur. Pengalaman yang kita alami sekarang ialah kesan positif terhadap alam sekitar ketika musim kawalan pergerakan manusia telah dilaporkan dalam pelbagai artikel penerbitan.

Menurut Digital Economy and Society Index (DESI), sejak beberapa tahun kebelakangan ini terdapat perkembangan besar dalam maklumat digital, komunikasi dan sistem. Dengan menerapkan teknologi pintar dalam sistem, ia mungkin memberi pengaruh yang relevan terhadap kualiti hidup di planet kita. Persoalannya ialah bagaimana teknologi pendigitalan ini boleh digunakan dan memberi kesan yang positif dalam pengurusan alam sekitar yang lebih lestari.

Teknologi pendigitalan

Pendigitalan sering dibincangkan dalam bidang perniagaan dan industri. Teknologi pendigitalan juga boleh membantu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar seperti penggunaan tenaga yang menjadi semakin jimat dan cekap kerana teknologi cekap tenaga menjadi lebih bersepadu di rumah, perniagaan, dan pengangkutan. Teknologi ini merangkumi pengurusan tenaga sistem, analisis canggih dan grid pintar.

Terdapat banyak contoh di mana digitalisasi dapat membantu meningkatkan prestasi persekitaran di pelbagai sektor seperti bangunan, pengangkutan, pencahayaan, perkhidmatan makanan, perdagangan, reka bentuk dan lain-lain. Contohnya, persidangan jarak jauh, kolaborasi dan telekomunikasi meningkatkan bahan dan kecekapan tenaga organisasi kerana penggantian perjalanan dan kurang memerlukan ruang pejabat.

Kelebihan teknologi pendigitalan ini perlu diadaptasi dalam pengurusan alam sekitar di Malaysia. Ia selaras dengan tuntutan norma baharu dan ia merupakan peluang yang baik untuk diaplikasikan.

Sudah sampai masanya pembangunan penyelidikan inovasi ke arah pendigitalan sistem pemantauan dan pengumpulan data berkaitan tahap kualiti air, udara dan tanah dilaksanakan. Data ini perlu dikoordinasi, dianalisis dan dimaklumkan kepada masyarakat tentang kondisi semasa. Ini akan membantu pihak berkuasa tempatan dan agensi berwajib mengambil tindakan segera sekiranya berlaku sebarang kes pencemaran.

Dalam keadaan semasa, maklumat berkaitan pencemaran dan ketidakpatuhan hanya diketahui oleh agensi tertentu. Dalam hal ini, penglibatan masyarakat amat terhad. Usaha ini juga secara tidak langsung akan mendidik masyarakat lebih prihatin dan berterusan tentang perubahan kualiti alam sekitar dan juga akan menjadikan pihak berkuasa bertindak lebih berkesan.

Teknologi pendigitalan sistem pengurusan alam sekitar seperti menggunakan sistem grid dan sensor, pembangunan pangkalan data keadaan semasa kualiti air sungai, udara untuk seluruh negara, paparan elektronik untuk mempamerkan keadaan semasa kualiti air dan udara di kawasan 'hotspot', sistem pemantauan secara dalam talian untuk sumber air dan air sisa serta udara, penggunaan satelit dan dron untuk pemantauan data semasa terutama di kawasan yang sukar dijejaki sumber pencemarannya.

Untuk memastikan usaha ini berhasil Kementerian Alam Sekitar dan Air perlu melibatkan universiti tempatan, agensi terbabit dan pihak berkuasa tempatan. Walaupun ada beberapa usaha yang dimulakan oleh kalangan penyelidik universiti dan agensi , tetapi ia masih belum mencukupi dan masih dalam skala yang kecil mengikut geran yang diperoleh.

Perlu mekanisme

Semua usaha kecil ini perlu dikumpulkan dan satu mekanisme yang lebih menyeluruh perlu dihasilkan bagi membantu pelaporan berkaitan kualiti alam sekitar di Malaysia lebih baik. Dengan cara ini juga, akan membantu kementerian melihat semula peraturan alam sekitar yang sedia ada dan perlu mengambil kira sumber pencemaran baharu dan bahan pencemaran baharu sekiranya ia memberi kesan yang signifikan kepada kualiti alam sekitar di Malaysia.

Pembangunan teknologi pendigitalan bagi pengurusan alam sekitar ini akan membuka lebih banyak ruang kepada tenaga kerja negara yang lebih baik dalam bidang pembangunan teknologi digital, usahawan teknologi, bioteknologi dan sebagainya seperti yang diharapkan dalam Revolusi Industri 4.0.

Kerjasama erat dan perkongsian kepakaran dari universiti tempatan, agensi agensi terbabit dan pihak berkuasa tempatan akan mezahirkan manfaat bagi semua masyarakat demi kelestarian alam sekitar terutama di negara kita, Malaysia.

Pendidikan berterusan tentang alam sekitar akan membuahkan hasil yang baik. Kes COVID-19 adalah contoh baik di mana penerangan dan pendidikan berterusan melalui media massa dan pelbagai medium lagi telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan.

-- BERNAMA

Dr Marfiah Ab.Wahid ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)