TINTA MINDA

PENJANA BANTU RAKYAT MILIKI RUMAH

17/06/2020 08:14 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Sr Dr Hishamuddin Mohd Ali

Pandemik COVID-19 bersama kebiasaan baharu bukan sahaja merubah malah turut membawa komplikasi kepada pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia termasuklah sektor hartanah.

Sektor hartanah yang terjejas melibatkan hartanah peruncitan, hotel dan rumah inap. Pertumbuhan jualan hartanah kediaman juga mengalami kemerosotan dengan ia turut menjejaskan rantaian nilaian sektor seperti industri pembinaan.

Oleh itu, Pelan Jana Semula Sektor Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020 dilihat bakal membantu memulihkan sektor hartanah di Malaysia.

PENJANA bertujuan menyokong sektor ekonomi dalam kebiasaan baharu dengan merangkumi tiga teras iaitu memperkasakan rakyat, melonjak perniagaan dan merangsang ekonomi.

Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM35 bilion untuk memastikan PENJANA sampai kepada sasaran masyarakat untuk memulihkan sektor ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Antara yang menjadi tumpuan ialah inisiatif kerajaan dalam membantu memulihkan sektor hartanah yang teruk terjejas akibat pandemik ini.

Rancakkan hartanah

Melalui PENJANA, kerajaan mengambil inisiatif merancakkan pertumbuhan sektor hartanah dengan memberi pengecualian Cukai Keuntungan Hartanah kepada rakyat Malaysia jika ingin membuat pelupusan rumah kediaman mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021, yang terhad kepada pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja.

Selain itu kerajaan juga memperkenalkan kembali kempen pemilikan rumah (HOC), dengan kempen sebelum ini berjaya meningkatkan penjualan hartanah kediaman seperti yang terkandung dalam Laporan Pasaran Hartanah 2019.

Melalui kempen baharu ini, pengecualian duti setem terhad kepada RM1 juta pertama akan diberikan ke atas perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah bernilai dari RM300,000 hingga RM2.5juta mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus oleh pihak pemaju.

Tahun lepas, negara menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 6 peratus dalam aktiviti pasaran hartanah kediaman berbanding 1.4 peratus pada 2018. Ini menunjukkan sektor ini mengalami pemulihan setelah beberapa tahun menunjukkan pertumbuhan perlahan.

Namun, pandemik COVID-19 pada penghujung 2019 telah memberi kesan yang signifikan kepada industri hartanah pada suku pertama 2020 terutamanya hartanah kediaman yang menjadi nadi penggerak pertumbuhan industri ini.

Laporan Pasaran Hartanah untuk suku pertama 2020 menunjukkan kemerosotan bilangan unit transaksi sebanyak -9.9 peratus dan penurunan nilai transaksi sebanyak -14.4 peratus pada suku berkenaan berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya. Kemerosotan ini dijangka berterusan pada suku tahun berikutnya.

Buka peluang miliki rumah

Justeru, melalui inisiatif yang disediakan, ia mampu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mempunyai rumah kediaman kerana kos untuk pembelian rumah akan menjadi lebih murah. Ia disokong dengan kos pinjaman perumahan yang lebih rendah oleh kerana Kadar Dasar Semalaman (OPR) hanya sebanyak 2 peratus iaitu yang terendah sejak 2009.

Kerajaan juga melancarkan Dasar Perumahan Negara 2018- 2025 yang memberi penekanan kepada isu rumah mampu milik. Dengan faktor fiskal yang menggalakkan pembelian rumah, ia merupakan waktu yang sesuai untuk membeli rumah.

Bagaimanapun, masalah rumah mampu milik masih lagi membelenggui kebanyakan rakyat Malaysia. Menurut laporan Bank Negara Malaysia, purata harga rumah yang mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia ialah RM282,000 pada 2019.

Selain itu, laporan Bank Dunia menyatakan kesan daripada wabak COVID-19 akan menyebabkan peningkatan dalam kadar kemiskinan dunia sebanyak 0.8 peratus kepada 8.6 peratus harus diambil serius. Selain itu, impak wabak ini akan menyebabkan kehilangan pekerjaan maka ia turut akan menjejaskan pemilikan rumah oleh rakyat Malaysia.

Peranan pemaju perumahan

Pihak pemaju harus menggembleng usaha bersama pihak kerajaan dalam membantu kempen pemilikan rumah dengan membina lebih banyak rumah mampu milik kerana segmen ini mempunyai permintaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

Bebanan tidak seharusnya diletakkan semata-mata kepada kerajaan dalam menangani rumah mampu milik kerana kerajaan pada waktu kini harus menumpukan usaha dalam memulih ekonomi secara keseluruhan.

Usaha kerajaan dalam memberi pelbagai inisiatif melalui dasar fiskal tidak akan berjaya jika pemain-pemain utama sektor hartanah tidak turut sama dalam membantu negara ketika dalam keadaan sukar ini.

Kebajikan rakyat Malaysia yang terkesan akibat pandemik ini seperti kehilangan pekerjaan, pendapatan serta sumber mata pencarian akan memberi kesan kepada kemampuan rakyat Malaysia dalam usaha memiliki rumah.

--BERNAMA

Prof. Sr. Dr. Hishamuddin Mohd Ali ialah Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)