Sejak tercetusnya koronavirus yang menyebabkan wabak COVID-19 di Wuhan, China pada November 2019, saban hari masyarakat dunia dipersembahkan dengan berita mengenai penularan wabak ini dan negara mana yang mulai dijangkiti di luar negara tembok besar China. COVID-19 menjadi topik perbincangan harian dan menjadi sebati dengan kehidupan masa kini.
Kita membaca, menonton dan mendengar mengenai COVID-19 kebanyakannya melalui media, baik media cetak, penyiaran mahu pun media baharu. Adakalanya, kita terdengar berita melalui media massa mengenai COVID-19 tetapi ada masa pula kita sendiri yang mencari maklumat melalui media disebabkan risau dengan keadaan kesihatan diri atau ahli keluarga yang menunjukkan simptom pandemik itu.
Melalui media, kita dihidangkan dengan pelbagai akronim dan istilah yang jarang atau tidak pernah langsung didengar sebelum tercetusnya pandemik COVID-19. Bermula dengan Koronavirus yang menyebabkan 'Corona Virus Disease' yang disingkatkan menjadi “COVID-19” oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Februari 2020, Kerajaan Malaysia kemudian mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau singkatannya PKP bermula 18 Mac 2020 diikuti PKP Diperketatkan (PKPD) bagi kawasan zon merah, PKP Bersyarat (PKPB) dan kini PKP Pemulihan (PKPP).
Diperkenalkan dengan istilah
Sepanjang tempoh PKP, kita mengetahui istilah industri kewangan termasuk moratorium serta istilah yang diulang-ulang siar kepada khalayak seperti penjarakan sosial (social distancing), lockdown, kuarantin, kluster, prosedur operasi standard (SOP), pengesanan kontak, kontak rapat, kebiasaan baharu (new normal), norma baharu, pakaian peralatan pelindung diri (PPE), pensanitasi tangan, pelitup muka (face mask), kekal di rumah (stay home), dan kekal selamat (stay safe).
Saban hari, kita mendengar penekanan istilah pemerkasaan komuniti (community empowerment) dan etika batuk dan bersin di tempat awam yang diulang sebut oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.
Khalayak juga cakna mengenai berapa kes baharu, kes kematian, kluster baharu dan lain-lain perkembangan COVID-19 melalui media. Ketika mengumumkan PKPB, kerajaan menekankan akronim 3S atau 3C dalam Bahasa Inggeris (elak sesak – crowded place, elak tempat sempit – confined space, elak sembang jarak dekat – close conversation) dan 3W (wash, wear, warn). Inilah fungsi utama media, iaitu berkongsi, menyampaikan dan menyebarkan maklumat, serta memujuk, selain memberikan keseronokan, menjadi peneman, untuk pengawasan keadaan sekeliling dan membantu khalayak membuat tafsiran mengenai sesuatu isu.
Pelbagai medium diguna pakai untuk mendekati masyarakat. Paling mudah diakses ialah televisyen dan radio. Berita dibaca, ditonton dan didengar di portal berita dalam talian, malah sudah tidak ramai yang membeli surat khabar bercetak. Golongan muda lebih gemarkan media baharu khususnya media sosial. Kandungan yang lebih visual dan interaktif lebih mereka gemari, seperti kandungan video, grafik, animasi dan podcast.
WhatsApp, Telegram dan Twitter juga menjadi tumpuan untuk mengakses dan berkongsi maklumat. Jadi, penyampaian maklumat dan pemujukan perlu disesuaikan dengan pelbagai lapisan masyarakat. Infografik, iklan bersiri di YouTube, ulasan oleh YouTuber atau Instafamous serta iklan pesanan khidmat awam untuk mendekati masyarakat adalah beberapa pilihan terbaik.
Agensi kerajaan seperti MKN juga memanfaatkan aplikasi Telegram bagi menyebarkan maklumat terkini dan sahih mengenai kes COVID-19 di Malaysia. Bilangan pengakses saluran Telegram MKN kini melebihi 1.1 juta orang yang menunjukkan masyarakat Malaysia inginkan sumber maklumat yang sahih dan tepat serta boleh dipercayai, bukannya berita palsu yang boleh menimbulkan panik dan cemas.
Kebergantungan kepada media
Sebelum tercetusnya COVID-19 lagi, masyarakat sudah bergantung kepada pelbagai media untuk pelbagai tujuan, seperti berhibur, mendapatkan maklumat, berkomunikasi, aktiviti pengajaran-pembelajaran dan lain-lain. Tetapi, secara jelasnya, semasa COVID-19 melanda dunia pada penghujung tahun 2019, masyarakat semakin bergantung kepada media untuk kelangsungan hidup.
Maklumat mengenai situasi semasa pandemik COVID-19 boleh diperoleh daripada media yang pelbagai, termasuklah saluran media penyiaran, laman sesawang, media sosial, blog dan medium lain. Pihak yang sentiasa mengemas kini dan berkongsi maklumat termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), organisasi bukan kerajaan (NGO), stesen televisyen dan radio, portal berita, malah para ilmuan agama, serta rakan-rakan kita di media sosial. Apabila terlalu banyak maklumat yang disiarkan dan ditonton, sudah tentu khalayak akan berdepan dengan situasi yang dinamakan “limpahan maklumat”.
Kebergantungan berterusan kepada media dapat dilihat dalam pelbagai aktiviti seharian. Jadual kehidupan dan mod bekerja berubah hampir 100 peratus terutama yang tidak dibenarkan ke tempat kerja dan sekolah. Kita “dipaksa” bekerja dari rumah (Work From Home) dan menyesuaikan diri dengan pelbagai keperluan termasuk pengubahsuaian jadual kerja, isu teknikal, perkakasan dan perisian, serta persediaan mental dan emosi.
Normal lama seperti makan di restoran, boleh keluar rumah pada bila-bila masa, solat di masjid, bermain di luar rumah, bersukan dan riadah, menonton filem di panggung wayang, bermain boling, futsal, hatta menonton perlawanan bola sepak di stadium tidak lagi dibenarkan semasa PKP. Jadi, untuk menghiburkan hati dan mengisi masa terluang, media menjadi sumber terpenting masyarakat untuk mencapai motif tertentu. Media juga adalah alat eskapisme daripada dunia realiti. Penat bekerja dalam rumah misalnya, maka telefon mudah alih segera dicapai untuk melepaskan lelah, atau sekadar mengisi masa lapang.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) berubah daripada bersemuka ke 100 peratus dalam talian. Mod synchronous dan asynchronous, dan remote learning/teaching mula kedengaran dan perlu difahami dan diaplikasikan oleh tenaga pengajar dan pelajar. Kementerian Pendidikan Malaysia menggalakkan guru menggunakan Google Classroom (GC), jadi ibu bapa perlu bantu anak-anak mengakses bahan di GC manakala universiti lebih fleksibel dan pelbagai, ada pengajar yang menggunakan aplikasi perbualan dalam talian dan siaran langsung seperti Webex, Google Meet, Hangout, Microsoft Team, Skype, Facebook Live, dan aplikasi khusus untuk pembelajaran seperti Nearpod, Padlet, Kahoot, selain YouTube, WhatsApp dan Telegram.
Aktiviti membeli-belah di kedai dan kompleks beli-belah telah berubah kepada kedai dalam talian, sehinggakan sayur dan ikan juga boleh dibeli dalam talian. Jumlah bungkusan yang diproses oleh syarikat pengeposan juga meningkat dengan mendadak.
Situasi PKP ini sebenarnya memudahkan orang ramai mendapatkan barangan, selain menguntungkan peniaga dan rider kerana rezeki mereka tidak putus, dan aktiviti ekonomi masih diteruskan. Kita juga semakin bergantung kepada teknologi untuk mengakses fasiliti dalam talian bagi melaksanakan transaksi seperti membayar bil utiliti, zakat, dan berinfaq. Tambahan lagi, media banyak membantu dalam menyampaikan peringatan, nasihat dan maklumat berguna kepada khalayak.
Kesan media kepada khalayak
Media sememangnya memberikan kesan sama ada positif mahupun negatif. Kesan positif dari media banyak dikaitkan dengan konsep psikologi positif seperti tingkah laku prososial, lebih empati, menambah ilmu, meningkatkan kreativiti dan motivasi, mencetuskan nilai murni dan mewujudkan ahli masyarakat yang lebih berkualiti.
Pun begitu, media turut tercalar dengan pelbagai kesan negatif. Misalnya, gangguan penglihatan akibat pendedahan skrin yang berpanjangan, sakit tulang belakang, kebas jari dan sakit di lengan, obesiti, perubahan sikap seperti narsisisme, dan masalah mental seperti risau, cemas dan kemurungan, seterusnya memberi kesan kepada kesejahteraan hidup.
Aktiviti menggunakan media yang melampau juga mengakibatkan berlakunya ketagihan, sama ada ketagihan kepada alatan atau aplikasi tertentu. Ketagihan dapat dijelaskan sebagai keinginan yang tidak dapat dielakkan untuk sesuatu yang tidak dapat dilawan dan menderita ketika tidak ada.
Dalam konteks psikologi media, istilah ‘nomofobia’ digunakan bagi merujuk situasi ketakutan yang tidak rasional kerana tiada telefon bimbit atau tidak dapat menggunakan telefon untuk beberapa sebab, seperti tiada isyarat rangkaian, kehabisan data atau kuasa bateri. Nomofobia banyak berlaku dalam kalangan golongan muda kerana kekuatan kebergantungan mereka kepada gajet terutama telefon bimbit dan aplikasi permainan dalam talian yang sangat tinggi.
Apa yang perlu dilakukan?
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada media, langkah yang paling mudah ialah melakukan “detoksifikasi digital”. Sesi detoks digital boleh dilakukan dengan cara memutuskan sambungan dari peranti pintar untuk suatu jangka masa pendek dan membaca buku bercetak yang belum dibaca selama ini. Matikan juga pesanan pemberitahuan di telefon, seperti mesej yang diterima di WhatsApp, kalendar, Facebook dan sebagainya. Kita tidak perlu tahu, kawal dan berkongsi segalanya di mana-mana medium.
Teknologi akan menjadikan hidup kita lebih mudah dan tenang jika digunakan dengan betul, tetapi telah terbukti secara ilmiah bahawa ia menyebabkan ketagihan akibat penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan. Untuk melindungi diri kita daripada situasi ini, kita perlu berhenti seketika menggunakan alat teknologi, iaitu untuk detoksifikasi. Melalui detoksifikasi digital, ketagihan dan nomofobia juga dapat diatasi.
Kurangkan masa skrin (screen time) dan lebihkan masa bersama keluarga atau menikmati alam semulajadi juga dapat detoks pemikiran dan tingkah laku manusia. Masa bersama keluarga boleh diisi dengan bermain permainan menguji minda seperti catur dan Monopoly, permainan tradisional seperti congkak, gasing dan dam, atau berkebun dan beriadah. Pengurangan masa skrin juga boleh diisi dengan membaca buku, majalah dan komik berunsur positif, memperbanyakkan ibadah termasuk solat, membaca dan tadabbur Al-Quran.
Sebagai manusia, kita memang tidak dapat lari daripada media dan teknologi untuk mengakses kandungan media. Namun, kita boleh mengawal corak penggunaan media dan dengan itu, kesan media juga dapat dikawal.
Kebergantungan melampau individu kepada media boleh memberi kesan negatif, justeru setiap anggota masyarakat perlu menjadi “pengguna yang sedar” mengenai manfaat dan bahaya skrin dan media ini. Jika digunakan dengan betul, media mampu membantu manusia ke arah kebaikan, tetapi sebaliknya jika digunakan tanpa had, ia memudaratkan.
Slogan ‘Kita Jaga Kita” amat signifikan pada masa dunia ‘berperang’ dengan COVID-19, musuh yang tidak kelihatan oleh mata kasar ini.
-- BERNAMA
Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid ialah Ketua Unit Penyelidikan Civic Media, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM)