TINTA MINDA

WASIAT: INSTRUMEN PENTING PENGURUSAN HARTA PUSAKA ISLAM

19/06/2020 03:50 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Mohamad Ali Roshidi Ahmad

Berwasiat berperanan untuk mengurangkan masalah kes harta pusaka yang tidak dibahagikan dengan kaedah yang betul. Wasiat membawa maksud pernyataan hasrat seseorang yang dibuat ketika hayatnya ke atas hartanya dengan maksud untuk disempurnakan pembahagiannya menurut hukum syarak selepas kematiannya.

Melalui wasiat harta pusaka akan dapat diagihkan mengikut kehendak si mati untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian. Akan tetapi, ramai yang masih tidak mengambil berat persoalan wasiat dan pengurusan harta selepas kematian hingga tidak melakukan persiapan yang sepatutnya.

Tanpa wasiat daripada pemilik harta, adalah dikhuatiri urusan pembahagian harta mengikut faraid dan warisan menyukarkan waris yang masih hidup selepas berlaku kematiannya. Ini kerana masih ramai orang Islam yang kurang arif tentang pengurusan harta pusaka, mengakibatkan pengurusan dan pembahagian harta pusaka tidak dapat dibuat dengan sempurna.

Wasiat permudah urusan harta

Seperti yang dinyatakan dalam pengertian wasiat, menulis wasiat adalah untuk menyempurnakan kebajikan si mati oleh ahli waris yang masih hidup, seperti menyelesaikan hutang si mati tanpa membebankan ahli waris yang masih hidup. Ini kerana, waris yang masih hidup juga pasti mempunyai tanggungan tersendiri dan urusan yang perlu diuruskan sepanjang hidupnya.

Secara umumnya, pengurusan harta semasa hidup adalah sangat penting bagi menguruskan pengagihan harta kepada waris yang berhak. Dengan berwasiat, kita dapat memberikan harta kepada sesiapa yang kita mahu dan suka. Seperti contoh, andai kita terhutang budi terhadap seseorang dalam kehidupan kita, dan ingin menghadiahkan individu tersebut dengan harta, maka dengan berwasiatlah kita dapat memberikan harta selepas kematian.

Selain itu, berwasiat akan dapat mempercepatkan proses pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak. Pengagihan harta dengan cepat mungkin sedikit sebanyak dapat membantu waris dalam hal kewangan. Apabila menyentuh tentang isu harta pusaka, sesetengah keluarga akan menjadi sensitif dan boleh mencetus pergaduhan. Melalui wasiat, perkara sebegini dapat dielakkan kerana telah jelas dan terang harta tersebut akan diuruskan pembahagiannya berdasarkan wasiat.

Pengurusan harta semasa hidup dapat mengelakkan harta pusaka dibekukan dalam tempoh masa yang lama. Dalam tahun 2016 telah dilaporkan bahawa harta pusaka yang tidak dituntut berjumlah lebih daripada RM60 billion, dan jumlah ini didapati meningkat setiap tahun.

Dengan mengambil mudah tentang pengurusan harta sewaktu hidup, urusan pusaka akan mengambil masa yang agak panjang untuk diselesaikan dan apabila urusan bertambah rumit dan memakan masa, akhirnya harta pusaka tadi beku dan tiada seorang pun ahli waris mendapat faedah daripada harta si mati.

Wasiat elak pertikaian

Sebelum membuat wasiat, perkara penting yang perlu ketahui ialah syarat sah wasiat itu sendiri. Wasiat tidak boleh melebihi kadar satu pertiga daripada jumlah keseluruhan harta pusaka. Jika melebihi kadar satu pertiga, perlu mendapat persetujuan semua ahli waris yang berhak selepas meninggal dunia.

Wasiat juga tidak boleh dibuat kepada ahli waris yang berhak, kecuali dengan persetujuan ahli waris lain selepas kematian pembuat wasiat. Seperti yang kita ketahui, anak angkat, anak tiri, anak susuan serta anak yang tidak sah taraf tidak termasuk dalam golongan penerima faraid. Maka, dengan kaedah wasiat, golongan tersebut layak mendapat harta peninggalan si mati.

Oleh itu, golongan yang mempunyai anak angkat, anak tiri, anak susuan serta anak yang tidak sah taraf patut berwasiat. Golongan orang yang tidak mempunyai waris amat digalakkan untuk membuat wasiat agar harta peninggalan mereka dapat disalurkan kepada orang atau organisasi yang mereka suka serta dapat meneruskan amalan kebajikan melalui harta berkenaan.

Lantik pentadbir harta

Orang Islam amat digalakkan membuat wasiat untuk melantik wasi yang akan mentadbir hartanya apabila meninggal dunia. Wasi atau pentadbir ialah seseorang yang dilantik oleh pembuat wasiat, sama ada dalam kalangan ahli waris atau bukan, untuk mengurus atau mentadbir pembahagian harta si mati kepada waris-waris yang berhak termasuk menunaikan semua wasiat si mati. Wasi akan bertindak sebagai pentadbir harta si mati termasuklah memulakan proses urus pusaka, melunaskan semua hutang si mati, melaksanakan wasiat dan membahagikan baki dari pusaka kepada waris mengikut lunas undang-undang.

Wasiat bukan sekadar dokumen pengagihan harta, malah ia adalah dokumen penting yang akan digunakan untuk mempercepatkan dan memudahkan urusan pentadbiran dan pengagihan harta pusaka untuk manfaat ahli waris yang telah ditinggalkan. Jika kita mengambil ringan tentang pengurusan harta pusaka, banyak pihak akan terkesan serta akan merumitkan pembahagian harta apabilla berlaku kematian kepada pemilik harta berkenaan.

Menguruskan harta pusaka bukanlah perkara yang mudah, terdapat banyak syarat serta peraturan yang perlu dipatuhi. Sebaik-baiknya, pemilik harta perlu merancang pengagihan hartanya ketika beliau masih hidup supaya semua hartanya dapat dimanfaatkan oleh ahli waris dengan sebaik-baiknya apabila meninggal dunia.

-- BERNAMA

Lt. Kol. Mohamad Ali Roshidi Ahmad ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)