Tidak diragui lagi bahawa menderma darah adalah satu ‘asbab’ usia seseorang boleh dipanjangkan dengan izin Allah SWT. Apabila seseorang terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kecederaan yang serius atau berlakunya pendarahan yang teruk, maka di saat itu keperluan mangsa kepada darah adalah amat kritikal untuk menggantikan darah yang telah banyak hilang akibat kemalangan atau pendarahan tersebut.
Di kala mangsa sedang bertarung antara hidup dengan mati, tiba-tiba ada insan yang berhati mulia sanggup berkorban untuk menderma darahnya, maka daripada itu mangsa tersebut mampu menyambung kehidupannya. Ia pastinya suatu yang amat bernilai yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.
Keperluan darah
Menurut sebuah portal kesihatan, jumlah purata darah bagi orang dewasa adalah sekitar 4.5 liter. Manakala bagi kanak-kanak pula adalah sekitar 2.6 liter. Seseorang itu masih mempunyai peluang untuk hidup sekiranya dia kehilangan sekitar 30 peratus atau 1.35 - 1.65 liter untuk dewasa atau 0.78 liter bagi kanak-kanak. Apabila seseorang kehilangan 40 peratus daripada kandungan darah dalam badannya, maka pada kebiasaanya dia akan mati kerana otak tidak lagi mempunyai bekalan oksigen yang mencukupi untuk hidup.
Hari ini kehidupan kita terdedah kepada berbagai-bagai tragedi kemalangan yang menyebabkan keperluan kepada darah amat kritikal. Darah adalah kehidupan. Menurut satu laporan akhbar, kutipan darah di Pusat Darah Negara menurun sehingga 40 peratus sejak penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk, kempen menderma darah patut diteruskan dengan menuruti semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi mengelakkan penularan COVID-19.
Asbab derma darah
Menderma darah selain memberi cahaya kehidupan yang baru bagi mangsa, ia juga sebenarnya turut akan menyambung ‘usia’ para penderma. Kenapa tidak? Apabila seseorang itu menderma darah, maka darah tersebut akan menjadi asbab kesihatan mangsa kembali pulih seperti sedia kala. Oleh kerana penderma darah yang menjadi asbab kepada keadaan itu, maka setiap amalan baik yang dilakukan oleh mangsa itu akan dinikmati ganjaran pahalanya kerana ia dianggap sebagai satu ‘sunnah’ atau amalan yang baik yang menjadi punca kepada kebaikan yang dilakukan oleh mangsa.
Sama seperti seseorang yang mengajak orang lain melakukan kebaikan, maka jika orang diajak itu melakukan kebaikan, maka orang yang melakukan perbuatan itu akan mendapat ganjaran pahala bahkan orang yang mengajak itu turut akan menikmati ganjaran pahala sama seperti pelaku amalan tersebut tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang beramal tersebut.
Ganjaran pahala ini akan terus berkekalan sehinggalah orang tersebut meninggal dunia. Bahkan ia mungkin akan terus menikmat ganjaran pahala sekiranya ada perkara-perkara baik yang terus boleh dimanfaatkan oleh ahli keluarga dan masyarakat selepas kematiannya. Inilah yang dimaksudkan dengan panjangnya usia penderma darah apabila menderma darah mereka kerana mereka sebenarnya terus ‘hidup’ meskipun sudah berada di alam barzakh hasil daripada kebaikan yang terhasil daripada pendermaan darah.
Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menghidupkan satu sunah yang baik, maka baginya pahala dan pahala orang yang melakukannya tanpa mengurangkan sedikit pun pahala orang yang melakukan amalan tersebut” - Hadith Riwayat Muslim.
Dalam hadith yang lain Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menunjukkan satu amalan yang baik, maka baginya pahala sama seperti orang yang melakukan perkara tersebut” - Hadith Riwayat Muslim.
Tawaran istimewa buat penderma darah
Selain ganjaran pahala yang berlipat ganda, banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan kepada penderma darah antaranya ialah mendapat rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan selain wad kelas satu untuk tempoh 10 tahun dan wad kelas dua seumur hidup selepas 10 tahun di wad kelas satu. Ini pastinya satu kelebihan buat para penderma darah. Namun untuk menarik lebih ramai penderma, pihak kerajaan patut menawarkan lebih banyak tawaran menarik seperti rebat cukai pendapatan, rebat tol, bil elektrik dan air yang dilakukan dengan kerjasama syarikat swasta.
Pihak hospital juga patut menawarkan hadiah-hadiah menarik kepada penderma yang mencapai jumlah tertentu pendermaan darah. Pihak majikan sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta juga boleh memasukkan menderma darah sebagai antara aktiviti yang diiktiraf sebagai sumbangan kepada masyarakat.
Dengan pelbagai tawaran menarik seperti ini, adalah diyakini minat masyarakat untuk menderma darah akan meningkat dan sekaligus mampu menyelesaikan masalah kekurangan darah di Pusat Darah Negara.
-- BERNAMA
Dr Nik Rahim Nik Wajis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia