Manusia memerlukan tanda-tanda visual di sekeliling bagi melancarkan aktiviti kehidupan mereka. Ketika manusia primitif prasejarah keluar memburu, mereka terjumpa tapak kaki binatang berbekas di tanah. Bekas ini bukan sahaja menjadi tanda visual yang memberi bentuk dan rupa tapak kaki, malah ia memberi lebih makna melalui nahu atau cara bacaannya. Dengan membaca saiz dan bentuknya, pemburu dapat mencongak sosok binatang apa dan bagaimana yang akan mereka temukan nanti. Maklumat ini membolehkan mereka bersiap siaga memasang langkah seadanya.
Apabila pemburu meneruskan pemburuan dengan mengikuti bekas demi bekas tanda visual tadi, ia tidak lagi dibaca secara tunggal. Kini, tertib tapak kaki tersebut dibaca dengan menghubung secara keseluruhan menjadikannya satu rajah jajaran petunjuk arah. Dengan memiliki petunjuk arah dari bacaan bekas tapak kaki ini, ia membantu pemburu sampai kepada binatang yang diburu untuk dijadikan makanan.
Dalam contoh ini, kesan tapak kaki tadi adalah sejenis perwakilan tanda yang hadir dalam bentuk visual. Kita dapat lihat bagaimana tanda visual ini menjadi bernilai kepada pemburu kerana faedah makna yang boleh diterjemah darinya. Semua makna seperti ini membolehkan manusia primitif respon dengan isi alam, lalu membenarkan aktiviti seharian mereka diteruskan.
Manusia terus belajar. Dari hanya melihat tanda di muka tanah, mereka telah pandai mencipta dan merakam tanda visual sendiri. Hasil tandaan moyang manusia ini masih dapat dilihat pada dinding gua purba seperti di Magura Cave di Bulgaria dan juga pada alatan seramik lama. Walaupun tujuannya masih diperdebatkan, ramai berpendapat kemungkinan orang dahulu menggunakannya untuk merakam jenis binatang, aktiviti pertanian dan ritual.
Mara ke ribuan tahun kemudian, tanda visual ini berevolusi kepada bentuk-bentuk ringkas dan sistematik bagi tujuan komunikasi iaitu menyampaikan mesej dan menterjemahkanya semula. Set-set tanda visual yang diringkaskan ini kini dikenali sebagai piktograf.
Perkembangan dan modenisasi
Aktiviti kehidupan manusia menjadi semakin kompleks dan pantas. Banyak piktograf baharu mula direka bagi memenuhi keperluan aktiviti manusia.
Piktograf dianggap sebagai salah satu alat komunikasi visual yang berkesan dan cekap. Maka, ia mudah dijumpai di mana-mana tempat seperti pada barangan peribadi di rumah, di dalam kenderaan, di kilang-kilang sehinggalah di tempat awam seperti lapangan terbang, pasaraya, hospital dan lain-lain.
Sebenarnya, banyak piktograf yang kita lihat hari ini dipengaruhi oleh hasil kerja seorang pemikir bernama Otto Neurath. Beliau adalah antara individu penting yang bertanggungjawab dalam aplikasi awal piktograf di era moden. Beliau mempopularkan banyak set piktogram antaranya untuk menyampaikan maklumat kuantitatif dalam bentuk visual (bahasa visual universal) yang dikenali sebagai ISOTYPE.
Sezaman dengannya ialah ahli semiotik bernama Charlse K.Bliss. Beliau mencipta kod tulisannya sendiri menggunakan konsep tanda yang dikenali sebagai Blisssymbol.
Kedua dua sosok ini adalah peminat tegar sistem piktograf. Mereka mempunyai ideologi yang hampir sama dan pesimis terhadap tulisan perkataan fonetik. Neurath pernah menganggap bahawa kepelbagaian tulisan di dunia telah memisahkan kita dan mencadangkan bangsa manusia menjadi satu dengan penggunaan bahasa bergambar!
Peranan dalam komunikasi universal
Piktogram terus kekal berguna. Walaupun ia belum mampu menggantikan tulisan fonetik sepenuhnya dalam komunikasi manusia, namun ada beberapa keadaan dimana pictogram dapat mengatasi kemampuan tulisan fonetik.
Pertama, bolehkah sesuatu mesej difahami? Misalnya kalau kita merantau ke negara asing yang berlainan bahasa, kita pasti akan mengalami sedikit kesulitan untuk mencari lokasi seperti tandas atau restoran apabila hanya tulisan bahasa tempatan sahaja yang digunakan pada papan tanda. Kita akan mula mencari petunjuk visual selain tulisan seperti piktogram.
Kebanyakan piktograf bersifat diskriptif dengan menggunakan peniruan bentuk, subjek idea yang popular dan ringkas menyebabkan ia boleh difahami secara terus. Jika tidak difahami sepenuhnya, ia sekurang-kurangnya membantu sebagai pemicu atau bayangan awal kepada maksud sebenar apabila bahasa bertulis tidak langsung difahami. Keadaan ini membawa piktograf kepada sifat rendah-belajar dan universal merentasi kelainan bahasa percakapan. Tanda berbentuk garfu tetap difahami sebagai ‘garfu’ sama ada di Kuala Berang, Kuala Lumpur mahupun di Kanada.
Kedua, adakah ia senang dilihat? Selain di tempat awam, kita juga temui banyak piktograf pada permukaan produk di rumah terutamanya produk elektrik yang memberitahu maklumat dan arahan.
Bagi produk yang kompleks dan bermacam fungsi, penggunaan tulisan sepenuhnya pada pemukaan produk akan memerlukan kos ruang yang tinggi. Bagi produk yang kompak, papan pemuka boleh menjadi sesak dengan tulisan. Kesesakan tulisan ini boleh menyebabkan maklumat dan arahan gagal disampaikan dengan efektif kepada pengguna selain turut mempengaruhi nilai estetika produk.
Justeru, banyak pereka produk memilih untuk menggunakan piktogram sebagai jalan selesai kepada masalah ruang. Apabila mempunyai ruang yang cukup, pereka lebih yakin mengawal kerja kerja rekaletak supaya piktograf mudah dilihat oleh pengguna.
Mudah dikenali, difahami
Bolehkah ia dikenali dengan cepat? Sesuatu tanda yang mudah difahami pastinya akan memberi kelebihan dari sudut faktor masa. Banyak situasi dan aktiviti seharian memerlukan kita membuat keputusan pantas contohnya ketika situasi cemas di tempat kerja, mencari lokasi ketika sedang memandu, malah ketika sakit perut dan perlu mencari tandas. Dalam keadaan begini, sudah pasti kita memerlukan satu bentuk informasi secara cepat dan tepat.
Oleh kerana sifat visual piktograf adalah ringkas, tidak memerlukan ejaan, dan tangkas menangkap perhatian kita, maka piktograf sememangnya menang dari sudut kecekapan faktor masa. Ciri-ciri ini juga meyebabkan piktogram dipilih untuk digunakan sebagai sebagai tanda amaran dan keselamatan.
Kini, apabila zaman skrin mengambil alih visual representasi, ciptaan piktograf menjadi tidak terkira. Setiap hari kita menjumpainya pada aplikasi telefon pintar, permainan digital, perisian komputer dan sebagainya.
Piktograf mungkin direka atas pertimbangan para pereka tanpa melalui penilaian intensif. Sebenarnya terdapat beribu-ribu piktograf yang telah direka mengikut prosedur dan melalui ujian keberkesanan untuk dijadikan piawai oleh ISO. Ia dikelaskan mengikut kegunaan seperti kecemasan dan keselamatan, kesihatan, pada produk elektrik, kenderaan dan untuk tempat awam. Namun berapa banyakkah piktograf piawai yang anda kenali?
--BERNAMA
Mohd Saipuddin Mohd Hasbullah ialah Pensyarah di Jabatan Grafik & Media Digital, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.