TINTA MINDA

Nasib Harimau Malaya: Antara Identiti Nasional Dan Ancaman Pupus

11/08/2025 12:03 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Madya Dr Arif Fahmi Md Yusof

Setiap kali tarikh 29 Julai tiba, dunia menyambut Hari Harimau Sedunia. Di Malaysia, tarikh ini sepatutnya menjadi peringatan nasional, bahawa Harimau Malaya, simbol negara kita sedang berada di ambang kepupusan. Walaupun menjadi lambang keberanian dan semangat perjuangan rakyat, haiwan ini mungkin hanya tinggal nama jika kita terus leka.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada 5 Februari 2025, bancian awal oleh Jabatan PERHILITAN menunjukkan populasi Harimau Malaya kini kurang daripada 150 ekor di habitat liar seluruh Semenanjung. Ini menjadikannya salah satu spesies paling kritikal di dunia. Angka rasmi penuh sedang dimuktamadkan, namun trend penurunan populasi ini amat membimbangkan.

Ikon di Padang, Pupus di Rimba

Harimau Malaya yang menjadi lambang kebanggaan negara, terpampang megah pada jata negara, jersi bola sepak kebangsaan, dan pelbagai kempen patriotik. Namun, simbol yang gah ini semakin hilang dari habitat asalnya. Di sebalik semangat nasionalisme yang dilaungkan, realitinya populasi harimau terus merosot akibat pelbagai ancaman yang kian meruncing. Di sebalik gegak-gempita sorakan di stadium, satu suara dari rimba kian tenggelam - suara Harimau Malaya.

Antara ancaman utama ialah pemburuan haram, yang sering kali dikaitkan dengan sindiket tempatan dan antarabangsa, khususnya dari Vietnam dan Kemboja. Pada tahun 2022, dua warga asing ditahan di Hulu Terengganu dengan barangan haram berkait harimau. Penyeludupan bahagian tubuh harimau seperti taring dan tulang juga masih berleluasa, dipercayai melalui pelabuhan nelayan ke negara jiran. Kajian oleh organisasi konservasi Panthera dan Zoological Society of London (ZSL) dengan kerjasama Universiti Sunway Malaysia pada Januari 2025 membongkar penggunaan laluan laut sebagai saluran utama aktiviti haram ini.

Kemalangan jalan raya turut menjadi penyumbang kepada kehilangan harimau. Pada 17 November 2021, seekor harimau betina mati dilanggar berhampiran Hentian Titiwangsa di Lebuhraya Timur–Barat, selain itu, pada 9 Mei 2022, seekor lagi harimau jantan menemui nasib yang sama di lokasi berhampiran. Secara keseluruhan, sekurang-kurangnya enam ekor harimau dilaporkan mati akibat pelanggaran kenderaan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Selain itu, penggunaan jerat haram di hutan turut menyebabkan kecederaan dan kematian hidupan liar. Pada Mac 2023, seekor harimau ditemui cedera parah akibat jerat di hutan Gua Musang dan mati tidak lama selepas dirawat. Ancaman-ancaman ini menjadikan hutan Malaysia bukan lagi tempat yang selamat bagi sang raja rimba. Harimau Malaya yang dahulunya menguasai belantara kini menjadi makhluk yang hidup dalam bahaya dan terancam oleh kerakusan manusia.

Dasar dan Undang-Undang

Malaysia memiliki kerangka perundangan yang agak lengkap dalam usaha melindungi Harimau Malaya. Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) memberikan perlindungan menyeluruh kepada spesies terancam seperti harimau, dengan hukuman sehingga 15 tahun penjara dan denda maksimum RM500,000 bagi kesalahan memburu, memiliki, atau memperdagangkan spesies dilindungi. Selain itu, Akta Kastam 1967 dan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) 2011 digunakan untuk mengekang penyeludupan bahagian tubuh harimau melalui pelabuhan dan sempadan.

Dari segi komitmen antarabangsa dan kerjasama serantau, Malaysia ialah negara anggota kepada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES) yang mengawal selia perdagangan lintas sempadan bagi spesies terancam. Malaysia turut menyertai ASEAN-WEN (Wildlife Enforcement Network) dan memperkenalkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sejak tahun 2019, yang menyaksikan penglibatan aktif pelbagai agensi seperti PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha memerangi jenayah hidupan liar.

Namun begitu, pelaksanaan undang-undang ini masih berdepan cabaran besar. Antara kekangan yang dikenal pasti ialah kekurangan anggota penguatkuasa di lapangan, kawasan hutan yang luas dan sukar diakses, ketirisan maklumat risikan serta kelemahan kawalan sempadan. Tambahan pula, pendakwaan terhadap pelaku utama sindiket jenayah hidupan liar masih belum konsisten. Tanpa penambahan sumber manusia, pelaburan dalam teknologi pemantauan, dan reformasi dalam sistem pendakwaan, undang-undang ini berisiko menjadi sekadar catatan rasmi yang gagal menyelamatkan Harimau Malaya dari ambang kepupusan.

Bersama Selamatkan Harimau Malaya

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan Pelan Tindakan Krisis Harimau Malaya (MTCAP) 2021–2030, yang memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang di kawasan panas, pemulihan habitat melalui Central Forest Spine (CFS), kawalan penyakit zoonotik dan penglibatan masyarakat Orang Asli. Selain itu, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang digerakkan sejak 2019 telah membuka lebih 429 kes dan merampas barang bernilai lebih RM258 juta.

Turut menyokong usaha ini ialah penubuhan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar - Wildlife Crime Bureau (WCB) di bawah PDRM untuk membanteras sindiket penyeludupan, serta pembangunan program pembiakan terkawal di Pusat Konservasi Harimau Kebangsaan (NTCC). Moratorium pemburuan rusa juga diperkenalkan bagi menjamin sumber makanan semula jadi harimau dan mengelakkan konflik manusia-haiwan.

Organisasi seperti MYCAT dan WWF-Malaysia telah melaksanakan kempen kesedaran awam seperti CAT Walks, Tiger Pledge dan #ScoreForTigers, yang menggalakkan orang ramai menyertai aktiviti sukarelawan, patrol, dan penajaan usaha konservasi. Pendidikan komuniti Orang Asli turut dijalankan bagi membina jaringan pemantauan tempatan dan meningkatkan kefahaman tentang kepentingan melindungi harimau.

Selain itu, sumbangan dana awam semakin digalakkan melalui saluran rasmi seperti WWF-Malaysia dan Dana Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF), memberi peluang kepada masyarakat untuk turut menyumbang secara langsung kepada pemuliharaan ini. Sokongan berterusan daripada rakyat amat penting untuk memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di habitat semula jadinya.

Harimau dalam Budaya dan Islam

Dalam Islam, prinsip rahmah dan ihsan terhadap makhluk Allah meliputi bukan sahaja manusia, tetapi juga haiwan. Nabi Muhammad SAW mengajarkan bahawa setiap makhluk berhak mendapat belas kasihan. Membunuh haiwan tanpa sebab yang sah atau menyiksa mereka dikecam keras dalam ajaran agama.

Harimau walaupun digeruni tetap makhluk ciptaan Allah yang punya peranan tersendiri dalam keseimbangan ekosistem. Kehilangan spesies harimau bukan sahaja memusnahkan biodiversiti, malah mengganggu keharmonian alam yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Dalam budaya Masyarakat Melayu pula, harimau bukan sekadar haiwan. Ia lambang kekuatan, keberanian, dan ketokohan. Ungkapan seperti ‘bagai harimau menyusur akar’ dan ‘garang seperti harimau’ menunjukkan bagaimana haiwan ini dihormati dalam warisan lisan dan seni tradisional.

Motif harimau juga terpahat dalam seni ukiran keris, batik, tenunan, malah dalam sejarah lisan pahlawan-pahlawan Melayu seperti Tok Janggut dan Dato' Bahaman yang sering diumpamakan seperti harimau hutan.

Membiarkan harimau pupus bererti kita kehilangan beberapa kepentingan. Kita kehilangan sebahagian daripada jati diri bangsa dan amanah sebagai khalifah yang menjaga ciptaan Tuhan.

Selamatkan Harimau Malaya

Harimau Malaya bukan sekadar haiwan. Ia nadi kepada hutan, simbol keberanian bangsa, dan amanah yang diwariskan kepada generasi kita.

Kita kini berada di persimpangan penting, sama ada terus membiarkan simbol negara ini lenyap perlahan-lahan, atau bersatu untuk menyelamatkannya. Setiap tindakan kecil, menyokong kempen pemuliharaan, menyebarkan kesedaran, dan menolak pemburuan haram mampu menyumbang kepada perubahan besar.

Jangan tunggu hingga harimau hanya tinggal dalam lukisan, jersi atau cerita rakyat. Jadikan generasi kita dikenang sebagai generasi yang menyelamatkan Harimau Malaya, bukan yang membiarkannya pupus.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr Arif Fahmi Md Yusof ialah Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)