PENA WANITA

REKA BENTUK BANTU PENJARAKAN SOSIAL DI PERSEKITARAN SEKOLAH

03/07/2020 11:18 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Shureen Faris Abd Shukor

Kepentingan penjagaan kesihatan seperti mencuci tangan dan menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer), penggunaan pelitup muka apabila perlu serta kepentingan amalan penjarakan sosial telah diberi penekanan oleh KPM.

Selain daripada langkah penjarakan sosial dan penjagaan kesihatan di dalam ruang pembelajaran, bagaimana pula tentang penjarakan sosial di persekitaran luar bilik darjah?

Persekitaran luar sebagai ruang belajar

Persekitaran luar boleh dimanfaatkan sebagai ruang pembelajaran terutamanya untuk peringkat sekolah rendah dan kelas pendidikan khas. Penggunaan kawasan luar bilik darjah perlu dimaksimumkan sebaik mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya adalah impak positif terhadap perkembangan minda dan fizikal para pelajar.

Antara cabaran selepas pandemik COVID-19 adalah untuk mengaplikasikan reka bentuk dalam membina persekitaran luaran hijau serta fasiliti yang mampu menghasilkan perlakuan positif dalam kalangan pelajar.

Kemudahan taman sekolah yang dilengkapi dengan pelbagai elemen merangsang deria boleh dianggap sebagai intervensi persekitaran yang boleh menggalakkan pembelajaran pelajar. Rangsangan deria melalui warna yang terang serta persekitaran hijau mampu menimbulkan keceriaan di sekolah di samping merangsangkan pemikiran para pelajar.

Elemen reka bentuk boleh memainkan peranan dalam membantu pengawalan penjarakan sosial di persekitaran luar bilik darjah seperti di kantin, kawasan permainan dan taman sekolah. Penggunaan bentuk serta warna yang terang akan memberi lebih tumpuan untuk para pelajar memberi perhatian kepada peraturan penjarakan yang sedia ada.

Penggunaan warna dan bentuk

Garis panduan telah disediakan oleh KPM mengenai pengendalian waktu makan serta penjualan makanan semasa di kantin sekolah. Langkah pengawalan tambahan untuk penjarakan sosial boleh juga dipertingkatkan untuk kawasan aktif seperti kantin dengan menggunakan elemen rekabentuk.

Penggunaan bentuk seperti bulatan dan juga bentuk lain boleh diadakan di permukaan lantai untuk menandakan jarak yang diperlukan apabila beratur untuk membeli makanan. Aplikasi warna yang terang pada bentuk yang ditandakan akan menambah keberkesanan dalam menarik perhatian para pelajar tentang peraturan yang disediakan semasa urusan di kantin.

Penyediaan fasiliti seperti tempat membasuh tangan serta sanitasi juga perlu diletakkan sebelum memasuki persekitaran yang aktif seperti kantin, taman sekolah dan kawasan permainan. Reka bentuk menarik alatan membersih tangan boleh mendorong pelajar mengunakan fasiliti ini dengan lebih kerap. Penggunaan bentuk dan warna juga boleh ditandakan di lantai untuk setiap ruang fasiliti sebagai indikasi penjarakan sosial dalam kalangan pelajar.

Terdapat juga sekolah yang mempunyai kemudahan kawasan permainan. Indikasi ruang dan juga keperluan memastikan jumlah pelajar pada sesuatu masa boleh juga ditanda dengan menggunakan bentuk yang dicat pada permukaan kawasan permainan. Guru atau pembantu pengajar lebih mudah memantau jumlah kanak-kanak dalam dalam ruang yang ditandakan dalam memenuhi keperluan garis panduan penjarakan sosial yang sesuai.

Penggunaan landskap

Landskap juga boleh memainkan peranan dalam membantu memastikan penjarakan sosial. Pengunaan kawasan luaran hijau boleh juga dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada kawasan pembelajaran.

Tanaman boleh digunakan sebagai pembahagi ruang di taman sekolah untuk tujuan mengawal pergerakan pelajar. Selain daripada itu, tanaman seperti tumbuhan renek atau pokok bersaiz kecil boleh diaplikasikan ke dalam fasiliti taman di sekolah yang berfungsi sebagai pembahagi kepada kerusi rehat untuk tujuan penjarakan sosial.

Saranan yang dikongsi ini diharap dapat menjadi sebahagian dari panduan kepada pentadbir serta pengurusan sekolah agar kawasan persekitaran luar bilik darjah masih lagi dapat digunakan dengan sepenuhnya di alaf normal baru ini.

Banyak manfaat boleh diperolehi dengan menikmati persekitaran luaran hijau terutamanya untuk perkembangan minda serta fizikal kanak-kanak sekolah. Aplikasi reka bentuk bukan sahaja mampu meningkatkan nilai estatik sekolah, malah berfungsi sebagai elemen membantu pengawalan jangkitan dalam kalangan para pelajar.

-- BERNAMA

Dr. Shureen Faris Abd. Shukor merupakan Profesor Madya di Jabatan Senibina Landskap, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)