Pandemik COVID-19 kini masih lagi mengganggu benak fikiran dan membelenggu penduduk seluruh dunia berikutan penawarnya atau vaksin yang masih belum ditemukan, namun kes masih tetap dilaporkan hari demi hari. Kredit perlu diberikan kepada pengurusan kesihatan di Malaysia setelah negara kita diiktiraf dunia sebagai antara negara yang mempunyai tadbir urus krisis pandemik yang terbaik.
Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia masih lagi mencatat jumlah kumulatif rekod kematian sebanyak 121 kes. Syabas dan tahniah kepada semua pengurusan barisan hadapan dan tidak lupa juga kepada seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibangunkan kerajaan.
Dalam menangani krisis kesihatan ini, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) turut terkena tempias dan memberi refleksi mutlak dalam memberi cabaran terhadap suasana kerja mengikut gaya norma baharu. Bermula dari isu menyelesaikan kaedah baharu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) kepada pelajar semasa, berterusan menjaga kebajikan pelajar yang terkandas di universiti dan kolej kediaman dan mengadakan Operasi Hantar Pulang secara berkala semuanya menuntut komitmen, usaha dan emosi yang tekal.
Penentuan dalam menangani krisis ini, menjadi cabaran luar biasa yang perlu diselesaikan oleh semua pihak terutama pengurusan kepemimpinan tertinggi untuk mewujudkan suasana tenang dan terkawal dalam memperhalusi setiap pelan tindakan yang diambil.
Mengatur strategi promosi
Namun, cabaran yang agak kritikal juga adalah dalam mengubah corak dan strategi untuk meningkatkan bilangan kemasukan pelajar dari dalam negara dan antarabangsa semasa dunia dilanda wabak ini.
Perhatian utama adalah bagaimana untuk merancang pelan tindakan dan segera untuk mengatur langkah strategi yang baharu mengikut senario semasa. Ini kerana bukan mudah bagi sesebuah kumpulan pasukan petugas untuk tidak hanya berfikir dalam bulatan yang sama kerana apa yang lebih serius ialah merealisasikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti yang direncanakan melalui pelan strategik yang telah ditetapkan dengan tidak menjadikan pandemik sebagai alasan yang boleh dimaafkan.
Apabila negara dilanda wabak ini, pendaftaran pelajar untuk belajar secara bersemuka terutamanya dari luar negara juga turut terganggu. Berikutan hal ini, dikhuatiri jumlah pengambilan pelajar akan turut menurun.
Oleh itu, Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (PPKP) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam merekayasa pelbagai idea dan strategi baharu telah mengadakan pelbagai siri perbincangan bersama beberapa pihak berkepentingan untuk menjadikan usaha mempromosi program akademik di USIM sebagai satu usaha kolektif semua pihak.
Jika diimbas kaedah promosi yang terdahulu, pendekatan promosi secara konvensional dengan mengadakan pameran pendidikan, menyertai karnival dan ekspo pendidikan menjadi medium utama untuk bertemu dengan bakal pelajar secara fizikal. Namun kini, pertemuan di alam maya menjadi kecenderungan utama kerana kaedah ini lebih efektif dan trend ini hampir digunakan oleh semua IPT untuk menarik minat pelajar dengan berjumpa secara maya sahaja.
Beberapa platform yang efisien dalam membantu kaedah promosi secara atas talian adalah seperti Google Hangout Meets, Skype, Microsoft Teams, Facebook Live, Zoom, WebEx dan sebagainya melancarkan lagi proses untuk memberi peluang kepada pengguna menggunakan beberapa ‘features’ seperti pameran (booth), perbualan (chat) secara teks, audio, video, lawatan maya (virtual tour), video halaman utama dan lain-lain untuk berinteraksi dan bertanyakan soalan. Kaedah Hari Terbuka Secara Maya atau Virtual Open Day juga memberi peluang kepada penganjur dan pelajar untuk bertanyakan soalan mengenai syarat kemasukan, biasiswa, yuran dan sebagainya pada skala yang lebih luas.
Pendekatan terbuka
Selain itu, terdapat beberapa inovasi atau pembaharuan dalam merangka strategi pemasaran program akademik yang ingin dipromosikan. Antaranya ialah dengan membenarkan pelajar baharu untuk memulakan pengajian secara dalam talian sahaja (sehingga pada waktu yang ditetapkan).
Melalui kaedah ini, secara positifnya ia tidak akan membantutkan proses pengajian malah membudayakan pelajar baharu untuk meningkatkan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat mereka dengan meneroka peluang dan kemahiran sama ada secara formal dan tidak formal.
Kaedah ini juga menggalakkan penyesuaian kendiri yang baharu dengan menerapkan elemen kreatif, inisiatif dan responsif dalam kalangan individu tersebut untuk memahamkan subjek yang diajar. Selain itu, hebahan promosi melalui e-mel juga boleh menjadi satu saluran yang aktif kepada golongan sasar untuk memperkenalkan program pengajian akademik yang ditawarkan dan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mereka terhadap USIM. Promosi melalui e-mel juga boleh dijadikan antara platform untuk menarik minat bakal pelajar kerana mereka dapat terus berinteraksi dengan pegawai yang bertugas.
Kaunselor sebagai pengantara
Selain berinteraksi dengan bakal pelajar, PPKP juga melihat keperluan untuk mempromosikan program akademik di USIM melalui para kaunselor (di sekolah mahupun di kolej) yang akan menjadi perantara antara USIM dan bakal pelajar secara maya.
Di sini, peranan kaunselor adalah untuk memberi panduan dan membimbing para pelajar membuat pilihan tepat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang seterusnya. Alternatif ini berkesan kerana bakal pelajar akan mendapat input atau informasi yang tepat melalui orang yang mereka percayai.
Membuat pilihan dalam menentukan laluan akademik yang betul (academic pathway) adalah penting kepada USIM dalam memastikan pelajar memilih bidang yang bersesuaian dengan syarat kelayakan dan minat mereka. Jaringan bersama para kaunselor dilihat signifikan dalam hal ini bagi meningkatkan promosi program akademik di USIM.
Terakhir, pencipta kandungan atau ‘content creator’ di media sosial juga perlu menjadi lebih kreatif, aktif dan dinamis. Sepanjang berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) informasi yang disalurkan secara digital menjadi keutamaan. Kaedah serampang dua mata dalam hal ini membantu untuk meningkatkan pemasaran program akademik dengan mengupayakan sepenuhnya ruang dan peluang di platform siber. Grafik yang meyakinkan dan interaktif menjadi daya tarikan kepada pengunjung yang melayari media sosial dan juga laman sesawang.
Sebagai sebuah universiti yang berfokus, USIM peka dengan perubahan persekitaran yang kita hadapi. Ia bukan hanya menuntut pembaharuan dalam bentuk fizikal malah daya pemikiran. Beberapa perubahan dasar dan polisi dalam PdP contohnya perlu dirai untuk terus mengukuhkan pembudayaan ilmu dan melestarikan usaha untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan dan profesional pada masa akan datang.
-- BERNAMA
Dr Fauziah Hassan merupakan Timbalan Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)