Dunia hari ini berada dalam era digital yang amat pesat dan meluas. Media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, dan pelbagai lagi platform komunikasi maya moden telah mengubah cara manusia berinteraksi, berfikir, dan berkongsi maklumat yang banyak.
Segala yang dimuat naik berpotensi menjadi tular dalam sekelip mata, dan fenomena ini menjadi sebahagian daripada budaya moden dalam masyarakat. Namun, yang sering terlepas pandang ialah tanggungjawab serta amanah dalam menyebarkan sesuatu.
Adakah setiap perkara yang dikongsi itu benar? Apakah niat di sebalik sesuatu yang ditularkan difikirkan? Soalan-soalan ini wajar dilihat dengan mendalam agar kita tidak menjadi penyebar maklumat yang melanggar batas etika sosial dan kerukunan agama.
Fenomena Tular
Fenomena tular boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya berita sensasi, video kejadian mengejut, isu politik, kontroversi artis, atau sekadar hiburan ringan. Namun, tidak semua yang tular membawa manfaat kepada kita.
Banyak juga yang menyebarkan fitnah, mengaibkan individu, merosakkan reputasi orang lain, serta mencetuskan kebencian dan perpecahan dalam masyarakat.
Ini menunjukkan bahawa kuasa untuk menjadi tular perlu dikawal dengan nilai amanah dan tanggungjawab sosial. Dalam Islam, amanah merupakan nilai teras yang amat mulia dan besar kedudukannya. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 72:
Maksudnya :“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan memikulnya dan bimbang akan mengkhianatinya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan jahil.”
Ayat ini menunjukkan bahawa amanah adalah satu beban besar yang tidak dipikul oleh makhluk-makhluk besar lain, tetapi manusia menerimanya dan malangnya sering kali gagal menunaikannya dengan adil.
Sebagai contoh dalam konteks media sosial, setiap pengguna sebenarnya sedang memikul amanah ilmu, amanah penyebaran maklumat, dan amanah menjaga maruah orang lain.
Semua itu sesuatu yang tidak boleh dipermainkan mengikut hawa nafsu. Sabda Rasulullah SAW yang sangat masyhur:
Maksudnya:“Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menyampaikan semua yang didengarinya.”(Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini memberi peringatan jelas bahawa tidak semua maklumat yang diterima wajar disampaikan, apatah lagi jika belum dipastikan kesahihannya.
Menyebarkan berita palsu atau tidak benar adalah satu bentuk pengkhianatan kepada amanah maklumat. Tular di media sosial juga sering berlaku kerana keghairahan untuk menjadi orang pertama menyampaikan sesuatu berita.
Ada yang berlumba-lumba berkongsi video kemalangan, pergaduhan, atau aib orang lain tanpa memikirkan kesannya kepada individu yang terlibat. Ini jelas bertentangan dengan prinsip Islam yang menggalakkan umatnya menutup aib saudara seagama. Sabda Nabi SAW:
Maksudnya:“Barang siapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat.” (Hadis riwayat Muslim)
Tular dengan kebenaran
Tanggungjawab bermedia bukan hanya kepada individu yang menghasilkan kandungan (content creator), tetapi juga kepada mereka yang berkongsi, memberi komen, dan menyebarkannya.
Setiap tindakan di alam maya direkod, sama seperti tindakan di alam nyata. Janganlah terkesema dengan segala perkara yang diperolehi hendak di tular tanpa mengetahui kebenaran dan mengetahui keperluan penularannya.
Ini selaras dengan peringatan melalui firman Allah SWT dalam Surah Qaf, ayat 18:
Maksudnya:“Tidak ada suatu kata pun yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang selalu siap (mencatat).”
Harus diingat bahawa ayat ini menunjukkan bahawa segala perkataan termasuk yang ditaip di media sosial akan dicatat dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Malangnya, ramai pengguna media sosial tidak menyedari bahawa setiap 'like', 'share', dan 'forward' mereka boleh menjadi asbab dosa jika perkara yang disebarkan itu palsu, lucah, mengaibkan, atau memecah-belahkan masyarakat. Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:“Sesiapa yang menunjukkan kepada kejahatan, maka baginya dosa seperti orang yang melakukannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Elak Tular Maklumat Palsu
Menyebarkan maklumat palsu atau memfitnah orang lain di media sosial samalah seperti turut melakukan kejahatan itu.
Dalam banyak kes, perkara yang ditularkan menyebabkan mangsa mengalami tekanan mental, kemurungan, atau hilang keyakinan diri.
Ada juga yang mengambil keputusan tragis seperti mencederakan diri sendiri kerana tidak tahan dengan kecaman atau penghinaan yang diterima di media sosial.
Justeru, kebertanggungjawaban moral dan sosial perlu dihayati oleh setiap pengguna internet, bukan sekadar menjadi ‘penonton’ atau ‘pengomen’ pasif.
Sebagai masyarakat Muslim, kita dituntut agar berfikir sebelum bertindak. Dalam Surah al-Hujurat, ayat 6, Allah SWT berfirman:
Maksudnya“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, lalu kamu menyesali atas perbuatan kamu itu.”
Prinsip penting sebelum tular
Harus diingatkan bahawa peringatan ayat ni bukan sahaja relevan dalam konteks kehidupan sosial, malah sangat tepat diterapkan dalam amalan bermedia. Menyemak, menilai, dan menapis adalah akhlak asas dalam penggunaan maklumat.
Oleh itu, beberapa prinsip penting perlu diamalkan dalam berinteraksi di media sosial.
Pertama: Niat yang betul berkongsilah hanya jika perkara itu memberi manfaat, menambah ilmu, atau memperbaiki keadaan.
Kedua: Semak fakta pastikan maklumat yang dikongsi itu benar dan daripada sumber yang sahih.
Ketiga: Jaga adab elakkan komen yang menghina, mencaci, atau menyindir secara keterlaluan.
Keempat: Hormati privasi jangan sebar gambar, video, atau maklumat peribadi tanpa izin.
Kelima: Fikirkan akibat tanya diri, apakah perkongsian ini akan memudaratkan atau menyakiti mana-mana pihak.
Kesimpulannya, menjadi pengguna media sosial bukanlah satu kebebasan mutlak, tetapi suatu amanah yang sangat berat.
Kita bukan hanya bertanggungjawab kepada masyarakat, bahkan kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui segala isi hati dan niat kita.
Dalam keghairahan mengejar tontonan, perhatian dan pengaruh, janganlah kita menggadaikan nilai kebenaran dan integriti.
Jadikanlah media sosial sebagai medan menyebar kebaikan, bukan medan menyebar fitnah. Ingatlah, bukan semua yang tular itu benar, dan bukan semua yang benar itu perlu ditularkan.
-- BERNAMA
Hasri Harun ialah Pensyarah Kanan Universiti Selangor (UNISEL) Dan Timbalan Presiden Wadah.