TINTA MINDA

COVID-19: NORMA BAHARU PERSEKOLAHAN, BERSEDIAKAH KITA?

24/07/2020 02:50 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Mohd Nazri Abdul Rahman

Penyesuaian norma baharu persekolahan yang kini kembali dibuka selepas beberapa bulan ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19, menyaksikan pelbagai reaksi dan gelagat pelajar, guru dan ibu bapa.

Pembukaan persekolahan bagi pelajar Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5 dan tahun 4 sehingga tahun 6, bermula 15 Julai lepas secara berperingkat memberi keyakinan kepada ibu bapa dan guru bagi memulakan persekolahan kepada murid tahun 1 sehingga tahun 3 yang bermula semalam.

Dengan adanya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menambahkan keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap kesediaan pembukaan sekolah bagi murid tahun 1 hingga tahun 3 secara menyeluruh.

Kembali ke sekolah

Perasaan gembira bercampur-campur kerisauan dan kebimbangan pastinya dirasai oleh setiap pelajar, guru dan ibu bapa apabila setelah hampir empat bulan menjalankan persekolahan secara maya.

Meninjau suasana pembukaan persekolahan sejak beberapa minggu kebelakangan ini mendapati pelbagai aktiviti norma baharu pendidikan dilaksanakan termasuk para guru mengadaptasi beberapa pendekatan pengajaran dan pembelajaran, aktiviti persekolahan serta pengurusan bilik darjah dalam kebiasaan baharu.

Namun, sejauh manakah kesediaan kita sebagai ibu bapa dan murid bagi memulakan kembali sesi persekolahan ketika negara masih bergelut dengan wabak COVID-19?

Jadi ibu bapa yang bijak, persiap diri anak-anak

Seharusnya kebimbangan dan kerisauan untuk menghantar anak-anak memulakan persekolahan perlu disertai dengan kesiapsiagaan ibu bapa memperlengkapkan diri anak-anak dengan kebiasaan baharu.

Sekiranya kita sebagai ibu bapa bimbang dan risau kesihatan dan keselamatan anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan ini begitu juga ibu bapa yang lain. Maka keprihatinan dan kebertanggungjawaban ibu bapa amat penting termasuk untuk memantau kesihatan anak-anak di rumah sebelum dihantar ke sekolah.

Ibu bapa perlu memeriksa suhu badan anak-anak bagi memastikan mereka tidak menunjukkan sebarang gejaja tidak sihat sebelum keluar dari rumah untuk ke sekolah. Sekiranya pemeriksaan anak-anak mencatatkan suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius atau bergejala, maka ibu bapa perlu menghantarnya untuk pemeriksaan doktor atau melakukan pengasingan di rumah.

Selain itu, ibu bapa juga disaran menyediakan bekal makanan untuk anak-anak ke sekolah kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan pergerakan dan kesesakan ketika membeli di kantin, tetapi juga dapat memastikan makanan yang disediakan bersih, selamat dan memenuhi nutrisi yang diperlukan oleh setiap anak-anak. Amalan ini perlu dijadikan sebagai kebiasaan baharu persekolahan baik dalam tempoh COVID-19 mahupun selepas berakhirnya wabak berkenaan.

Ambil tahu perkembangan pembelajaran anak-anak

Dalam mempersiapkan diri anak-anak untuk memulakan sesi persekolahan, ibu bapa juga perlu terus membantu, membimbing dan memantau perkembangan anak-anak dalam pelajaran bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pembelajaran. Ini kerana apabila sekolah mula dibuka, pastinya ada anak-anak yang terkebelakang bagi topik-topik pembelajaran tertentu. Hal ini berlaku mungkin disebabkan pelaksanaan pembelajaran dalam talian yang membataskan akses pembelajaran bagi murid-murid tertentu.

Justeru dalam norma baharu pendidikan hari ini, seharusnya ibu bapa bersedia untuk memberi sokongan, galakan dan motivasi kepada anak-anak untuk terus belajar dan melipatgandakan usaha bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalaan.

Kesediaan ibu bapa untuk terus menerus memberi kesedaran kepada anak-anak peri pentingnya memberi fokus dalam pembelajaran di dalam kelas secara bersemuka secara tidak langsung menangani isu keciciran pembelajaran anak-anak susulan COVID-19.

Cipta kesedaran amalan penjarakan sosial, kebersihan

Tindakan proaktif ibu bapa untuk sentiasa mengingatkan dan memberi kesedaran kepada anak-anak tentang tatacara persekolahan penjarakan sosial termasuk amalan jarak sosial dan kebersihan tangan sebelum, semasa dan selepas menaiki kenderaan; tidak berjabat tangan atau bersentuhan antara satu sama lain sama ada guru, rakan atau orang sekeliling dan sentiasa mengamalkan kebersihan tangan sebelum dan selepas makan. Selain itu, nasihatkanlah anak-anak agar tidak berkongsi makanan dan minuman dengan murid lain.

Ibu bapa sebaik-baiknya juga perlu merancang jadual pergerakan/kenderaan anak-anak untuk ke sekolah dan pejabat. Ini kerana langkah terbaik untuk mengatasi kebimbangan dan kerisauan akan keselamatan dan kesihatan anak-anak, adalah dengan menghantar dan mengambil sendiri anak-anak dari sekolah.

Tanggungawab pelajar

Di pihak pelajar pula, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab setiap pelajar untuk sama-sama mempersiapkan diri bagi memulakan norma baharu persekolahan dengan mengamalkan penjarakan sosial. Demi keselamatan dan kesihatan diri, pelajar perlu bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memulakan sesi persekolahan, termasuk untuk mematuhi kebiasaan baharu dalam aspek tatacara dan peraturan persekolahan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikekang.

Ringkasnya, kesediaan ibu bapa dan pelajar terhadap norma baharu persekolahan memerlukan tindakan proaktif bersama ibu bapa dan pelajar. Keprihatian ibu bapa untuk terus mendidik anak-anak mengamalkan kebiasaan baharu seperti penjarakan sosial satu meter setiap masa sama ada kedudukan di dalam kelas, beratur untuk membeli makanan di kantin, ketika masuk-keluar sekolah, dan makan-minum di dalam kelas masing-masing akan memastikan usaha mengawal penularan wabak COVID-19 dapat dibendung. Perlu diingat, walaupun tanpa pengawasan guru-ibu bapa, pelajar seharusnya menerima norma baharu ini sebagai satu kebiasaan baharu persekolahan hari ini.

-- BERNAMA

Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)